Pembinaan semula 5 stesen LRT3 disambut baik, penduduk mahu ia disegerakan, penat ‘hadap’ kesesakan

Penduduk dan pekerja di kawasan berkenaan menyifatkan ia sebagai berita baik selain mahu ia segera dilaksanakan agar mereka mempunyai akses kepada pengangkutan awam tambahan selain perkhidmatan bas

1:00 PM MYT

 

PETALING JAYA – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan semula pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang sebelum ini dibatalkan, disifatkan sebagai berita baik oleh orang ramai yang penat ‘menghadap’ kesesakan teruk setiap hari.

Lima stesen berkenaan ialah Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Tinjauan Scoop di kawasan Tropicana di sini, mendapati ia adalah berita baik bagi pekerja serta penduduk setempat, selain mahu ia segera dilaksanakan agar mereka mempunyai akses kepada pengangkutan awam tambahan selain perkhidmatan bas.

Menurut seorang juruteknik, C Chandarasikaran, 73, beliau menyokong penuh projek pembinaan LRT di Tropicana itu kerana ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku tanpa mengira masa sejak kebelakangan ini.

C Chandarasikaran berkata ia memberi kemudahan kepadanya yang bekerja di kawasan berkenaan. – Abdul Razak Latif/Gambar Scoop, 19 Oktober, 2023

Menurutnya, pengumuman itu membuktikan Kerajaan Perpaduan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan pengangkutan awam yang efisien.

“Pembinaan semula LRT3 di sini sudah tentu memberi kemudahan kepada penduduk sekitar terutama kami yang bekerja di sini. Kami tidak perlu lagi memandu dan penat terperangkap dalam kesesakan di samping dapat kurangkan karbon dioksida (CO2). Tropicana ini kadang-kadang sehingga jam 11 malam masih sesak.

“Kalau saya mahu balik ke rumah di Sungai Wang ketika waktu puncak, saya kena berfikir banyak kali kerana terpaksa menghabiskan masa hampir sejam dalam kereta tetapi bila LRT3 ini siap, saya tidak perlu lagi menunggu sehingga kesesakan jalan raya reda,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2024 pada 13 Oktober lalu berkata pengekalan stesen-stesen berkenaan dijangka melengkap dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.

Bagi penduduk setempat pula, Ain Nawwarah Mohamad, 33, dengan meneruskan semula LRT3 ini, ia dapat menjayakan hasrat kerajaan untuk menggalakkan warga kota menggunakan kemudahan pengangkutan awam dalam urusan harian mereka.

Ain Nawwarah Mohamad berkata pembinaan semua LRT3 itu akan memberikan keselesaan kepada orang ramai terutama pekerja di kawasan terbabit. – Abdul Razak Latif/ Gambar Scoop, 19 Oktober, 2023

“Dekat sini, bukan sahaja sesak, nak cari parkir untuk kereta pun payah. Jadi, pembinaan semula LRT itu nanti memang akan memberi keselesaan bukan sahaja penduduk, malah pekerja di sekitar kawasan ini.

“Walaupun ada bas di kawasan ini namun ia tidak dapat menampung orang ramai khususnya pada hari bekerja sehingga ada yang sanggup tunggu sampai malam untuk pulang ke rumah.

“Apapun, diharapkan ia dibina dengan sempurna tanpa wujud sebarang kelompongan. Biar lambat asal ia cantik serta selesa untuk digunakan oleh orang ramai kerana saya tahu ramai yang gembira dengan pengumuman ini” katanya.

Muhammad Zulkarnain Abu Bakar berharap agar lebih banyak tren disediakan pada waktu puncak. – Aiman Sadiq/Gambar Scoop, 18 Oktober, 2023

Dalam pada itu, Muhammad Zulkarnain Abu Bakar, 37, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, stesen LRT di Tropicana ini akan merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan perkhidmatan.

“Di sini, bukan sahaja ada banyak kawasan tempat kerja dan perumahan, namun ada sekolah. Jika ia dibina, sudah pasti ia turut memudahkan anak-anak sekolah, tidak perlu lagi ibu bapa ambil mereka dan itu boleh kurangkan kesesakan lalu lintas di sini.

“Saya menyokong usaha dilakukan kerajaan namun diharapkan nanti lebih banyak tren beroperasi pada waktu puncak,’’ katanya. – 19 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related