Memang saya kekok, Hael Husaini akui rela ‘digerudi’ pengarah demi drama My Famous Ex-Boyfriend

Hael turut melakukan diet dengan hanya makan sayur untuk menurunkan berat badannya demi tuntutan watak

2:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Hael Husaini mengakui pada awalnya dia agak ‘kekok’ untuk membiasakan diri dengan budaya kerja dan suasana di lokasi sewaktu menjayakan penggambaran drama bersiri, My Famous Ex- Boyfriend arahan Hadith Omar.

“Memang saya kekok dan tak tahu apa-apa tentang angle (sudut pandang) kamera. Bila mereka kata nak ambil wide angle, saya tertanya-tanya mengenainya. Bila mereka cakap nak close-up angle pula, saya tertanya-tanya lagi dan nak pandang kamera mana.

“Tapi, Alhamdulillah, saya dapat pengarah yang banyak membantu dan memahami saya masih lagi baharu dalam bidang lakonan ini.

“Bahkan, semua barisan pelakon juga banyak membantu termasuk Nadhir Nasar. Dia banyak mengajar saya mengenai cara untuk melontarkan suara. Ia pengalaman yang cukup menarik bagi saya,” katanya.

Menurut Hael lagi, dia sendiri tidak menyangka akan terpilih untuk menjayakan watak Haque Zuhal dalam drama bersiri yang diadaptasi daripada novel Peritchor, karya Nurul Syahida Kamarudin.

“Selalunya bila ada meeting (mesyuarat) atau perjumpaan bersama pihak produksi drama, ia banyak melibatkan pembikinan muzik dan kalau ada sinopsis, ia berkaitan dengan projek runut bunyi (OST).

“Jadi, bila pihak produksi drama ini menghubungi saya dan bila saya datang ke kafe Astro, saya rasa pelik. Kenapa ramai yang mengiringi saya untuk masuk ke sebuah bilik. Kemudian bila saya buka pintu sahaja, banyak kamera tertumpu kepada saya.

“Mereka suruh saya baca skrip dan selepas saya baca, kemudian semua tepuk tangan dan beritahu andalah yang kami cari. Saya pun tak tahu apa yang mereka cari.

“Walaupun sebelum ini saya pernah cakap saya takkan berlakon, tapi sudah tentu sebagai manusia keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru itu ada. Dan mungkin ini peluang untuk saya mencuba,” katanya.

Jelas Hael lagi, memandang tawaran yang diterima itu hanya seminggu sebelum tarikh penggambaran, dia tidak ada masa untuk berguru dengan mana-mana jurulatih lakonan atau menyertai kelas lakonan.

“Set lokasi adalah tempat saya belajar dan saya cuba beri yang terbaik. Mula-mula saya takut juga dan cuba menghubungi beberapa rakan pelakon termasuk Nabila Huda untuk mendapatkan pandangan.

“Abil beritahu, setidak-tidaknya sekali dalam hidup saya patut mencuba. Yang penting, saya ikhlas, beri yang terbaik dan tidak menyusahkan orang. Saya rasa itu antara nasihat terbaik yang saya terima.

“Oleh kerana saya masih baru, saya juga tidak kisah bila saya kena ‘gerudi’ dengan pengarah sehingga ada babak yang terpaksa dilakukan sebanyak empat kali take. Sebab kalau saya tidak diperlakukan begitu, saya takkan dapat memperbaiki lakonan saya.

“Dan sebagai penyanyi, bila sudah mula masuk set, saya sedar bidang lakonan sebenarnya banyak membantu, bukan sahaja untuk membina keyakinan diri tetapi juga dari sudut penyampaian dan penghayatan,” katanya.

Sebagai penyanyi, bila sudah mula masuk set, Hael sedar bidang lakonan sebenarnya banyak membantu, bukan sahaja untuk membina keyakinan diri tetapi juga dari sudut penyampaian dan penghayatan – Ellyna Ali/Scoop, 18 Oktober, 2023

Mengenai kritikan serta reaksi berbeza yang diterima mengenai penglibatannya dalam drama itu, Hael berkata, ia perkara biasa.

“Bila saya menyanyi pun akan ada komen yang positif dan negatif. Kita tidak boleh control (kawal) apa orang kata. Cuma, benda itu kita harus jadikan pengajaran. Lebih-lebih lagi buat saya yang masih baru dalam lakonan. Saya kena terima nasihat dan kritikan.

“Tapi, saya memang tidak sabar untuk menantikan drama ini keluar. Saya dan tengok beberapa video dan ia cukup menarik dari segi penceritaan. Kalau dari sudut lakonan, tolong jangan terlalu letakkan harapan pada saya, sebab saya masih baru.

“Tapi, bila saya tengok trailer, saya rasa pendekatan yang digunakan sangat baru dalam industri terutama dari sudut suntingannya.

“Jadi saya tak sabar menunggu. Pasal teaser pula, saya rasa anda semua kena tengok kenapa terjadinya situasi itu. Ia bakal memberi impak kepada episod pertama,” katanya yang terpaksa menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg) demi tuntutan watak.

My Famous Ex-Boyfriend yang dijayakan Hael Husaini, Qasrina Karim dan Nadhir Nasar bakal ditayangkan di slot Megadrama di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis bermula 27 Oktober ini. – 18 Oktober, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related