KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) bersama dua badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia menandatangani perjanjian penubuhan Majlis Pelancongan Islam Sedunia dalam usaha memperkasakan industri pelancongan Islam, haji dan umrah bagi rantau ASEAN.
Presiden Mata, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, perjanjian itu dimeterai antara pihaknya dengan Asosiasi Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia (Ampuhri) dan Kesatuan Tour Travel Haji Umrah Republik Indonesia (Keshturi) pada Sidang Kemuncak Menteri dan CEO Asia Islamic Tourism Expo (AITEX 2023).
Menurutnya, penubuhan Majlis Pelancongan Islam Sedunia itu akan menjadikan suara ASEAN lebih kukuh dan didengari dalam memperjuangkan industri pelancongan Islam, khususnya haji dan umrah.
“Majlis ini ditubuhkan untuk memperkasakan lagi industri pelancongan islam, haji dan umrah bagi rantau ASEAN, selain berganding bahu antara negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam tinggi.
“Ia sudah pasti akan membuka membuka peluang perniagaan yang lebih luas dalam industri pelancongan islam di rantau Asean,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid yakin lebih banyak NGO dari negara lain seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja akan turut serta menjadi anggota Majlis.
Malah katanya, ahli perniagaan dari Timur Tengah dan Asia yang hadir ketika Sidang Kemuncak Menteri dan CEO AITEX menyambut baik penubuhan majlis tersebut. – 17 Oktober, 2023