KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline sudah diminta membayar balik kos pembelian tiket penggunanya yang tidak dapat melakukan perjalanan, susulan penggantungan operasinya.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memaklumkan, pihaknya juga sudah mengarahkan MYAirline untuk segera menguruskan pengguna terjejas.
Katanya, ia termasuk memaklumkan pengguna mereka mengenai penggantungan itu, selain menerbitkan pemberitahuan terbabit melalui saluran komunikasi syarikat penerbangan yang tersedia.
“MYAirline juga sudah diarahkan MAVCOM untuk menghentikan serta-merta penjualan dan tempahan penerbangan daripada semua platform tempahan, sehingga diberitahu kelak.
“MAVCOM menegaskan bahawa MYAirline masih bertanggungjawab untuk membayar balik kepada pengguna yang sudah membeli tiket dengan syarikat penerbangan, tetapi tidak dapat melakukan perjalanan.
“MAVCOM sentiasa berhubung rapat dengan MYAirline dalam menangani isu ini,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, MAVCOM berkata, pihaknya menyediakan talian hotline dan saluran khusus untuk membantu pengguna terjejas akibat penggantungan secara tiba-tiba ini.
Justeru, katanya, MAVCOM menggesa pengguna terjejas yang sudah membuat tempahan dengan MYAirline untuk penerbangan pada 12 Oktober 2023 dan seterusnya, menghubungi saluran aduan khusus syarikat penerbangan itu untuk sebarang pertanyaan serta bantuan berkaitan tempahan mereka, iaitu [email protected]
Ujarnya, saluran khusus MAVCOM turut disediakan untuk membantu semua pengguna terjejas, seperti talian hotline pengguna, +1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau emel ke [email protected].
“Mereka (pengguna) juga boleh mengemukakannya menerusi borang web aduan FlySmart di https://flysmart.my/make-a-complaint/, selain menggunakan aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun dari gedung Google Play dan Apple App,” katanya.
Sementara itu, MAVCOM memberitahu, pihaknya sedang menyiasat syarikat penerbangan berkenaan berdasarkan ulasan dalaman dan aduan diterima mengenai bayaran berkanunnya yang tidak dibayar kepada pekerja.
“MAVCOM akan memberikan perkembangan lanjut berhubung operasi MYAirline dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, hingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Lembaga Pengarah MYAirline memaklumkan, keputusan itu diambil susulan syarikat terbabit kini mengalami masalah kewangan ketara.
Katanya, penggantungan operasi itu juga dilakukan sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan syarikat penerbangan berkenaan kembali dilakukan.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja serta rakan kongsi kami yang berdedikasi,” katanya menerusi kenyataan. – 12 Oktober, 2023