KUALA LUMPUR – Polisi baki sifar atau Zero Balance Policy dilaksanakan Universiti Malaysia (UM) yang mensyaratkan pelajarnya perlu menjelaskan yuran penuh terlebih dulu sebelum dibenarkan mendaftar kursus hanya memberi kesan kepada 1,181 pelajar sahaja.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, adalah tidak benar untuk menyimpulkan polisi itu akan membebankan pelajar secara umum, khususnya mereka yang menerima Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tajaan kerajaan dan pelajar dari kumpulan B40.
“Sebaliknya, polisi ini akan memberi kesan kepada hanya kira-kira 3.97 peratus pelajar (bersamaan dengan 1,181 daripada 29,733 bilangan keseluruhan pelajar) sahaja.
“Dan sebahagian besar dari kumpulan ini adalah mereka yang sama ada tidak mengemaskini status penajaan atau mempunyai tajaan atau bantuan pendidikan namun gagal membuat bayaran atau benar-benar memerlukan bantuan kewangan,” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee mengenai hala tuju, objektif dan kesan polisi ‘selesaikan hutang sebelum pengajian’ yang dilihat boleh menjejaskan penuntut daripada golongan B40 untuk meneruskan pengajian.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar, polisi itu diperkenalkan dengan pertimbangan dan budi bicara yang baik serta mengambil kira kebajikan secara rasional dan praktikal.
Katanya, ini kerana, pelajar yang gagal membayar hutang tidak akan dikenakan tindakan serta-merta, sebaliknya polisi itu mensasarkan mereka yang dikelaskan sebagai penghutang tegar.

“Bagi mengimbangi antara kepentingan universiti dan kebajikan pelajar, polisi itu mendefinisikan penghutang tegar sebagai individu yang mempunyai obligasi kewangan, tetapi tidak menjelaskan obligasi kewangan kepada pihak universiti bagi dua semester berturut-turut walaupun dituntut dan diberi peringatan.
“Sekalipun polisi itu dilaksanakan, bagi pelajar yang berhutang di bawah tajaan, pendaftaran untuk semester berkenaan sebenarnya adalah dibenarkan. Namun menjadi tanggungjawab pelajar terbabit memastikan pihak penaja membuat penyelesaian hutang tersebut,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UM menyelaras sebarang rayuan untuk permohonan bantuan kewangan kepada pelajar yang berada dalam kategori tersebut dan mereka juga dibenarkan mendaftar, seterusnya perlu menyelesaikan baki yuran sebelum minggu ketujuh sesi akademik bagi Semester 1 2023/2024.
“Pentadbiran universiti juga memberi jaminan bahawa semua permohonan dan rayuan yang diterima akan disemak dan diproses dengan kadar segera.
“Sekalipun dilaksanakan, berdasarkan pelepasan menghadiri konvokesyen akan dibenarkan kepada pelajar di bawah tajaan,” katanya.
Ujarnya lagi, hanya transkrip dan skrol sahaja akan diberikan selepas pihak penaja menyelesaikan hutang tersebut.
Terdahulu, Scoop melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mendesak pihak pentadbiran universiti terbabit memansuhkan pelaksanaan polisi baki sifar (Zero Balance Policy) yang baharu dilaksanakan kerana membebankan pelajar terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurut KMUM, hampir mustahil bagi kebanyakan pelajar untuk mengumpul sejumlah wang yang besar untuk dibayar dalam jangka masa singkat kerana yuran berjumlah antara RM 1,000 hingga RM 20,000.
Dakwanya, pelaksanaan dasar itu juga tidak munasabah kerana ramai pelajar belum menerima elaun biasiswa atau wang pinjaman PTPTN mereka semasa pendaftaran kursus. – 11 Oktober, 2023