Go Shop rasmi ditutup, Anna Al Juffrey akui reda tampil kali terakhir esok, anggap rezeki Tuhan di bumi ini ada di mana-mana

Menurut Anna, dia dan rakan-rakan pengacara lain akan membuat penampilan khas dalam sebuah program khas Go Shop sebagai tanda ucapan terakhir mereka

5:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyampai radio dan pengacara, Anna Al Juffrey atau Anna J mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa sedih apabila Go Shop bakal menamatkan operasi, esok.

Namun, pada masa yang sama, Anna mengakui reda dengan ketentuan Tuhan dan percaya bahawa bumi Tuhan ini luas dan rezeki ada di mana-mana.

“Siapa yang tidak sedih bila tempat kita cari makan selama ini tiba-tiba akan ditutup. Tapi, hendak buat macam mana. Apa yang berlaku adalah di luar dugaan.

“Saya pasrah dan reda dengan ketentuan ini dan akan mengenang segala saat manis saat bekerja sebagai pengacara Go Shop,” katanya kepada Scoop.

Menurut Anna, dia dan rakan-rakan lain di Go Shop mendapat tahu tentang berita penutupan platform tersebut melalui sebuah townhall yang diadakan pada Isnin minggu lepas.

“Kami diberitahu bahawa operasi Go Shop secara rasmi akan berakhir pada 11 Oktober iaitu esok dan ia juga akan menjadi penampilan terakhir saya bersama semua pengacara lain di platform tersebut.

“Jadi, esok kami akan tampil dengan sebuah program khas sebagai tanda ucapan terakhir kami buat peminat-peminat setia Go Shop,” katanya.

Bermula dengan kontraknya sebagai penyampai radio Suria FM yang tidak disambung pada awal tahun ini dan disusuli dengan penutupan GO Shop, Anna menganggap 2023 adalah tahun yang penuh dengan ‘aksi roller coaster’.

“Ia tidak pahit dan tidak juga manis tetapi penuh dengan turun naik. Tapi, saya tidak mahu berasa patah semangat dengan apa yang berlaku kerana saya pernah lalui perkara yang lebih teruk lagi.

“Jadi, bila saya berhadapan dengan keadaan-keadaan seperti ini pada 2023, saya sudah boleh menghadapinya dengan tenang.

“Bahkan, sebaik sahaja dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa Go Shop akan ditutup, saya tidak duduk diam. Sebaliknya cuba mencari ruang kerja lain.

“Sebab saya bukanlah selebriti yang mempunyai nama besar yang akan dicari orang. Saya sendiri kena berusaha mencarinya. Insha-Allah, ada dua tiga projek yang bakal melibatkan saya nanti, tapi ia masih lagi dalam perbincangan,” katanya.

Jelas Anna lagi, dia juga terbuka untuk mencuba bakatnya dalam bidang seni lain selain daripada pengacaraan dan menjadi penyampai radio.

“Saya teringin sangat nak berlakon tapi saya tidak tahu macam mana hendak melibatkan diri dalam bidang lakonan,” katanya. – 10 Oktober, 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related