Asap kebakaran berpotensi merebak, Jokowi gesa tindakan segera

Jokowi yakin usaha mengawal kebakaran yang sedang dilakukan sekarang lebih baik berbanding kebakaran hutan pada 2015

4:26 PM MYT

 

JAKARTA – Presiden Indonesia Joko Widodo memberi peringatan bahawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu berpotensi untuk tersebar secara meluas.

Beliau turut memerintahkan supaya pegawai tertinggi tentera dan polis serta pemerintah daerah mengambil tindakan segera dengan serius untuk mengatasi masalah itu.

“Memang setiap kebakaran menghasilkan asap yang boleh tersebar secara meluas jika dibawa oleh angin,” kata Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi.

“Setiap titik kebakaran, tidak kira betapa kecilnya, mesti dikawal untuk mengelakkannya daripada merebak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai peningkatan pencemaran udara di negara-negara jiran susulan asap kebakaran di wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Jokowi berkata suhu di negaranya kini lebih panas daripada suhu normal sehingga musim kemarau berlangsung panjang serta berpotensi meningkat dan memperluas titik panas di beberapa wilayah.

Beliau bagaimanapun yakin usaha mengawal kebakaran yang sedang dilakukan sekarang lebih baik berbanding kebakaran hutan pada 2015.

“Kami masih boleh mengawalnya dengan baik di sini,” katanya.

Puncak musim kemarau di Indonesia dijangkakan berlaku bulan ini, berikutan peningkatan titik panas dari Ogos dengan beberapa wilayah termasuk Jawa tidak menerima hujan sejak tiga bulan lalu.

Malaysia bersedia untuk bekerjasama menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang melanda di beberapa wilayah di Indonesia sekiranya diperlukan, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Tawaran itu terkandung dalam surat rasmi yang dihantar Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad kepada rakan sejawatannya di Indonesia Siti Nurbaya Bakar.

Konsulat Malaysia di Pontianak telah menyumbang enam mesin pam air kepada pemerintah Wilayah Kalimantan Barat pada Ogos untuk pencegahan dan pengawalan kebakaran hutan dan tanah.

Dalam kenyataan rasmi Isnin lepas, Siti Nurbaya menjelaskan aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.

“Kami telah memantau keadaan dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia,” katanya. – 8 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related