Bajet 2024: Hartal Doktor Kontrak mohon segerakan peralihan jawatan kontrak ke tetap

Dengan memberikan jaminan terhadap masa depan mereka (doktor kontrak), secara tidak langsung ia memberikan kestabilan terhadap sistem tenaga kerja dalam sektor kesihatan

4:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Hartal Doktor Kontrak (HDK) berharap kerajaan dapat memberikan jaminan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak dengan memastikan peralihan ke jawatan tetap, demi kestabilan kepada sistem tenaga kerja sektor kesihatan menjelang pembentangan Bajet 2024, 13 Oktober ini.

Jurucakap kumpulan tersebut, Dr Muhammad Yassin berkata, ini kerana ketika ini Kementerian Kesihatan sedang berdepan dengan bilangan kakitangan yang sangat terhad dan ia diburukkan dengan peningkatan jumlah yang meletak jawatan setiap tahun.

“Tahun 2022 sahaja sebanyak 1,354 pegawai perubatan berstatus kontrak telah meletakkan jawatan dan ia melebihi jumlah kumulatif untuk dua tahun sebelumnya.

“Dengan memberikan jaminan terhadap masa depan mereka (doktor kontrak), secara tidak langsung ia memberikan kestabilan terhadap sistem tenaga kerja dalam sektor kesihatan,” katanya kepada Scoop.

Dalam Bajet 2023, sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Hartal Doktor Kontrak adalah kumpulan mogok pekerja yang dilancarkan oleh pegawai perubatan di seluruh negara pada Julai 2021, sebagai membantah dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia yang dilaksanakan sejak 2016.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad juga memohon kerajaan menaik taraf kemudahan kesihatan dengan melakukan penambahbaikan berterusan memandangkan banyak fasiliti kesihatan kini dalam keadaan yang usang serta ketinggalan zaman.

“Banyak fasiliti kesihatan kini dalam keadaan yang usang dan berusia berabad lamanya dan ada juga peralatan yang digunakan tidak lagi seiringan dengan zaman moden.

“Penambahbaikan berterusan perlu dilakukan agar fasiliti dan kelengkapan kesihatan bukan sahaja semakin mesra pengguna, malah seiring dengan teknologi moden dan dapat menambah mutu rawatan di fasiliti kesihatan awam di negara kita, setaraf dengan standard negara maju,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, HDK juga bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan subsidi gula sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit diabetes.

“Menurut laporan ‘The Direct Healthcare Cost of Non Communicable Disease in Malaysia’, dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.38 bilion (meliputi 45.38 peratus daripada jumlah kos keseluruhan) dibelanjakan hanya untuk pengurusan penyakit berkaitan diabetes sahaja. Ia menjadi beban kepada kerajaan apatah lagi jumlah pesakit diabetes adalah hampir 3.9 juta orang.

“Kami mengesyorkan agar suatu reformasi terhadap subsidi gula dapat digunakan bagi membiayai sistem pengurusan, perawatan dan pendidikan terhadap komplikasi diabetes di Malaysia,” katanya. – 6 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related