KUALA LUMPUR – Penghibur Malaysia bertaraf antarabangsa, Datuk Shake mengakui tidak sabar untuk pulang semula ke Malaysia dan bertemu peminat-peminatnya dalam konsert Dato Shake Live In Concert 2023 yang bakal diadakan Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember ini.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Sheikh Ahmad Bahweres yang menetap di Beverly Hill, California dan kini berada di sebuah lagi rumahnya di Perancis memberitahu dia sememangnya amat merindui Malaysia.
“Sudah lama saya tidak datang iaitu sejak 2019. Tergendala kerana pandemik. Tapi, akhirnya saya sihat walafiat dan dan sedia untuk pulang dan berjumpa anda semua,” katanya dalam satu hantaran video ringkas melalui Instagram miliknya.
Penghibur yang terkenal pada era 1980-an dan telah merakamkan lagu dalam tiga bahasa iaitu Perancis, Melayu dan Inggeris ini juga memberitahu bahawa dia mengadakan konsert bersama gabungan barisan pemuzik daripada Perancis serta Malaysia.
“Di dalam konsert ini, saya akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Melayu.
“Saya pernah janji dengan anda semua dulu saya mahu buat konsert termasuk konsert jelajah pada tahun 2022. Tapi, ia tidak jadi kerana pandemik. Jadi, beli tiket sekarang.
“Takut nanti tiket dah takde lagi. Anda semua akan marah saya,” katanya,” katanya.
Anak seni kelahiran Johor Bahru ini mula mencipta nama di Perancis sebelum pulang ke tanah air dan merakamkan album dalam bahasa Melayu.
Antara lagu Melayu Shake yang popular dan masih diingati hingga sekarang ini adalah Umi, Lina, Kau Bungaku dan Anugerah Dari Kegagalan, – 5 Oktober, 2023