Bajet 2024: GEM mohon peruntukan khas, perkasakan koperasi e-hailing

Peruntukan terbabit dapat digunakan oleh koperasi untuk menyediakan kereta sewa atau sewa beli kepada pemandu mengikut saluran yang betul

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gabungan eHailing Malaysia (GEM) memohon kerajaan menyediakan peruntukan khas menerusi Bajet 2024, untuk memperkasakan koperasi e-hailing bagi membantu pemandu dalam industri terbabit.

Ini kerana, kata Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal, isu yang membelenggu e-hailing dan p-hailing ketika ini adalah ‘permainan’ pihak ketiga yang menyewa kenderaan kepada pemandu.

Menerusi peruntukan terbabit, ujar beliau, ia dapat digunakan oleh koperasi untuk menyediakan kereta sewa atau sewa beli mengikut saluran yang betul.

“Kita nak pastikan kerajaan dapat menjadikan pengangkutan awam e-hailing ini sebagai pemangkin kepada penggunaan kereta nasional iaitu Proton serta Perodua ataupun kenderaan elektrik. Pada masa sama kita mahu menyahut seruan kerajaan dalam penggunaan teknologi hijau.

“Kami ini barisan hadapan di pintu masuk negera terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Kita mahukan pengangkutan awam e-hailing mengutamakan kenderaan nasional dan EV,” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.

Bajet 2024 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober ini.

Dalam pada itu, Jose berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan memberikan subsidi caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKPS) Perkeso, Skim Insurans Pekerjaan (Sip Gig) serta Skim i-Saraan KWSP.

“Walaupun kerajaan telah menambah peruntukan RM50 juta bagi Sip Gig untuk Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada tahun ini, namun peruntukan perlu ditambah kerana transisi sama ada penggiat gig ini nak ke sektor formal atau keusahawanan, kedua-duanya mesti ada peruntukan.

“Bagi i-Saraan KWSP, walaupun ada penambahan RM500 pada tahun ini berbanding RM350 pada tahun lalu, jumlah itu terlalu jauh dari sasaran kita. Apa yang kita mohon bukan setakat bantuan one off tetapi galakan kepada penggiat e-hailing atau p-hailing untuk membuat caruman SKPS Perkeso dan KWSP,” katanya.

Sementara Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamruddin Mohd Husain pula memohon agar Kerajaan Perpaduan dapat menyediakan geran khas berjumlah RM1,000 kepada 40,000 pemandu teksi yang berdaftar menjelang pembentangan Bajet 2024.

Jelasnya, isu ketidaksamarataan kadar tambang dan komisyen antara perkhidmatan teksi serta e-hailing telah menyebabkan pemandu teksi kehilangan sumber pendapatan sehingga 75 peratus.

“Ini berikutan syarikat e-hailing lebih cenderung menyalurkan hampir keseluruhan tempahan penumpang kepada kenderaan e-hailing kerana ia telah menyumbang keuntungan syarikat sebanyak 20 peratus berbanding teksi hanya 10 peratus, kesudahannya kami kehilangan sumber pendapatan kerana tidak berupaya bersaing secara adil dan sihat,” katanya. – 2 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related