KUALA LUMPUR – Acara larian tahunan terbesar di Malaysia, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023, yang melibatkan 15,000 peserta bagi larian sejauh 10km dan 5km, berlangsung dengan meriah awal pagi tadi.
Pelepasan larian bermula di Dataran Merdeka pada 6.15 pagi dan seperti tahun-tahun sebelum ini, acara berkenaan bukan sahaja menarik minat penduduk di sekitar Lembah Klang bahkan ia turut meraih perhatian peserta dari negeri-negeri lain.
Salah seorang peserta yang ditemui, Nur Faizura Mohd Tahir, 32, sanggup datang dari Segamat, Johor dan teruja dapat menyertai KLSCM 2023 bersama-sama rakan baiknya, Wan Nur Afiqah Wan Ahmad Rizam, 30.
“Saya baharu sahaja sampai dari Segamat semalam dan memang teruja untuk memeriahkan acara larian ini.
“SCM sudah menjadi acara tahunan terbesar di negara kita dan disebabkan itu kami teruja untuk sama-sama rasai hype tersebut.
“Kalau ada kesempatan masa, tahun depan mungkin kami akan sertai lagi,” katanya kepada Scoop.
Sementara itu, Amy Sim Yen Fong, 40, dan suami, Tan Choong Seong, 46, tidak kisah memandu jauh dari Ipoh, Perak demi memberi pendedahan kepada dua anak mereka, Ronan Tan Yi Yang, 8, dan Reyna Tan Lerr Xuan terhadap aktiviti sihat dan bermanfaat seperti KLSCM.
“Hari ini anak-anak sertai kategori Kids Dash 1km dan memang kami sertai untuk kesihatan kerana ingin mendedahkan anak-anak kepada aktiviti bermanfaat seperti larian ini.
“Mereka pun seronok dan mahu menyertainya lagi pada tahun depan!” kata Amy.
Sementara itu, bagi Yan Wai Mun, yang berusia 60 tahun, berlari untuk tujuan kebajikan merupakan faktor kenapa dia menyertai KLSCM 2023.
Wai Mun yang bertugas di organisasi kebajikan Hospis Malaysia, berkata, dengan berlari dia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pertubuhan tersebut yang menyediakan ‘fund’ untuk rawatan penyakit kanser.
“Saya sertai larian 10km hari ini untuk ‘raise fund’ Hospis Malaysia dan juga berlari mewakili pesakit-pesakit kanser yang tidak dapat menyertai acara ini.
“Hari ini saya ambil masa 1 jam 16 minit untuk habiskan larian, walaupun ia bukan (rekod) ‘personal best’ saya tapi dengan menyertai acara-acara larian seperti ini ia dapat meningkatkan keyakinan serta sebagai satu motivasi (hidup sihat) untuk saya,” katanya.
KLSCM yang menerima pengiktirafan Road Race Label oleh badan induk Olahraga Dunia ini telah memasuki edisi ke-15.
Lebih 40,000 penyertaan diterima tahun ini dan acara kemuncak yang bakal diadakan esok menyaksikan larian full marathon (42km) dan half marathon (21km) yang turut disertai peserta dari luar negara.
KLSCM kali ini melibatkan beberapa perubahan dalam usaha menjadikan ia larian mesra alam, antaranya menggalakkan peserta menggunakan botol air yang boleh digunakan semula berbanding penggunaan cawan kertas.
KLSCM 2023 menampilkan Penaja Emas iaitu Boost Juice Malaysia di samping beberapa rakan penaja rasmi yang lain seperti Seiko, Brooks, 100PLUS dan TudungPeople.
Selain itu, KLSCM juga memiliki rakan kebajikan rasmi seperti Dignity for Children Foundation (Dignity), Futuremakers by Standard Chartered (Futuremakers), Hospis Malaysia, Kechara Soup Kitchen Society dan Reef Check Malaysia. – 30 September, 2023