KUALA LUMPUR — Penyanyi hip hop terkenal, Yonniboii mengakui proses menghasilkan album pertamanya, Persona yang kini sudah pun diluncurkan di pasaran digital muzik adalah suatu cabaran yang cukup sukar.
Cabaran yang dimaksudkan Yonniboii itu bukanlah dari sudut berkarya secara kreatif tetapi lebih kepada cara menguruskan masa dengan bijak.
“Pada saat album ini disempurnakan, waktu agak suntuk kerana isteri saya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak.
“Jadi saya terpaksa bahagikan masa dan mencuri waktu untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Itulah cabaran terbesar saya untuk album ini,” katanya.
Mengulas tentang kelahiran album solo pertamanya itu, Yonniboii berkata, Persona menceritakan tentang perjalanannya dalam mencari jati dirinya yang sebenar khususnya melalui muzik.
“Album ini menceritakan bagaimana mencari bunyi yang juga identitinya sendiri dan saya telah melalui beberapa persona untuk mencari identiti ini. Jadi kesemua lagu dalam album ini berbeza-beza mengikut personanya yang bervariasi,” katanya.
Album ini turut menampilkan ramai nama-nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk rakan baiknya seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King serta Adam E.
“Mereka memberikan ‘input’ yang berbeza dan memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat,” ulasnya.
Menariknya, album Persona ini dihasilkan menggunakan geran Dana Kandungan Digital berjumlah RM200,000 dari MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi dan Digital yang diperolehinya selepas memenangi anugerah Album Terbaik di acara Anugerah Industri Muzik 2022.
Dana tersebut telah digunakan untuk setiap aspek pembikinan album termasuk penerbitan lagu, video muzik serta perbelanjaan pemasaran dan promosi.
Salah satu rancangan pemasaran yang bakal diadakan adalah sebuah majlis pelancaran album istimewa yang akan diadakan secara besar-besaran di Putrajaya Challenge Park – Skatepark pada 7 Oktober ini, dari jam 4 petang hingga malam. – 29 September, 2023