Lawatan PM ke AS: Tindakan susulan kenal pasti pelaburan akan diambil: Fahmi

Beliau akan bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berbincang mengenai peluang yang ada

10:10 PM MYT

 

SEPANG – Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat (AS) pada 20 hingga 24 Sept yang berakhir dengan jayanya, akan disusuli dengan tindakan mengenal pasti peluang pelaburan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata fokus kementeriannya adalah ekonomi digital dan peluang itu dilihat banyak dalam bidang berkenaan.

“Saya akan bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berbincang mengenai peluang yang ada, kerana kita sudah pasti ingin jadikan Malaysia hub digital dan bukan sahaja hub pemprosesan data. Saya percaya Malaysia mampu jadi harimau digital Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut kepulangan Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Anwar berada di AS bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.

Fahmi berkata tiga dokumen besar negara iaitu Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan memberi peluang kepada Jemaah Menteri untuk mencari pelabur bagi sektor tertentu.

Mengenai lawatan kerja Perdana Menteri ke AS, Fahmi menggambarkan lawatan itu berjalan dengan baik dan penampilan Anwar dialu-alukan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas 25 tahun, yang merupakan saat bersejarah.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima dari Wisma Putra, para diplomat dan duta; mereka memberikan respons positif terhadap lawatan Anwar, dan menurutnya pihak yang mengatakan kononnya lawatan Anwar ke AS tiada penerimaan, sebenarnya hanya menabur fitnah dan tidak bercakap benar.

Fahmi berkata Kenyataan Negara yang disampaikan Anwar telah menimbulkan suasana positif dalam kalangan komuniti masyarakat antarabangsa.

Sewaktu menyampaikan Kenyataan Negara, Anwar menyatakan kebimbangan terhadap konflik global di seluruh dunia seperti di Palestin, Ukraine, Afghanistan serta Myanmar, Perdana Menteri juga menyentuh isu berkaitan krisis iklim, pembangunan mampan (SDGs), Islamofobia dan Malaysia MADANI.

Fahmi berkata wawancara Anwar bersama media antarabangsa dan pertemuan dengan 15 syarikat besar akan membawa peluang pelaburan ke Malaysia.

“Ini akan memberi peluang kepada para pelabur memahami dengan mendalam bagaimana Malaysia berubah dan semakin stabil serta memberi ruang luas kepada pelabur pertimbang Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya. – 26 September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related