Rakyat Malaysia terdorong bekerja di Singapura kerana 3 faktor ini…

Walaupun bukan isu baharu, ia harus dibimbangkan apabila berlaku secara makro, sehingga negara berisiko kehilangan ramai tenaga sumber manusia berkemahiran tinggi

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiga faktor utama dikenalpasti sebagai pendorong yang menyebabkan tenaga kerja, terutama individu berkemahiran tinggi dari negara ini nekad bekerja di Singapura.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, kajian dijalankan pihak berkaitan isu itu, merungkaikan faktor pertamanya adalah kadar gaji munasabah dan nilai ditawarkan di negara jiran berkenaan dianggap lebih berbaloi.

Katanya, sekiranya Malaysia menawarkan gaji, insentif dan upah sama menarik seperti diberikan majikan di sana, beliau berpendapat pastinya lebih ramai rakyat ingin bekerja di negara sendiri.

“Ini disebabkan Malaysia adalah kampung halaman dan keluarga mereka semua ada di sini, jadi kalau tawaran gaji lebih baik di negara sendiri, sebenarnya ramai sahaja orang hendak berkhidmat di sini,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, faktor kedua adalah kemudahan atau fasiliti lebih canggih serta futuristik dimiliki majikan di republik berkenaan, berbanding negara ini.

“Kalau kita lihat contohnya, golongan tenaga kerja mahir, seperti saintis, mereka memerlukan fasiliti makmal berteknologi tinggi bagi melakukan kerja kajian.

“Justeru, itu membuatkan mereka lebih tertarik berhijrah ke negara maju yang mempunyai fasiliti terbabit, termasuk Singapura untuk bekerja,” katanya.

Anuar berkata, faktor dorongan ketiga adalah mereka inginkan kestabilan hidup untuk keluarga, termasuk anak, sama ada dari segi kewangan, kemudahan semasa atau keperluan tertentu.

“Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, faktor yang ketiga ini kerana mereka inginkan kestabilan daripada segi kehidupan berkeluarga, malah mereka yang mempunyai anak memerlukan rawatan atau pendidikan khas, pastinya akan mempertimbang berhijrah ke luar negara untuk bekerja.

“Ini kerana terdapat pelbagai kemudahan mungkin tidak ditawarkan di negara kita, jadi mereka memilih negara yang memiliki perkhidmatan perubatan atau pendidikan lebih maju untuk kesejahteraan keluarga masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, mengulas lanjut trend rakyat Malaysia bekerja di Singapura, beliau berkata, ia bukan isu baharu.

Malah, Anuar menegaskan, situasi kekurangan tenaga kerja mahir atau ‘fenomena brain drain’ bukan hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya isu global yang turut dihadapi di seluruh dunia.

Namun, beliau berpandangan, situasi itu akan bertukar menjadi masalah dan harus dibimbangkan apabila ia berlaku secara makro atau dalam kuantiti besar, sehingga berisiko membabitkan kehilangan ramai tenaga kerja sumber manusia berkemahiran tinggi di negara ini.

“Kebimbangan ini perlu diberi perhatian jika kita tidak mahu kehilangan ramai tenaga kerja mahir yang mampu meningkatkan pembangunan negara. Jika ia berterusan berlaku (dalam kuantiti yang banyak), negara akan rugi.

“Kita mesti seboleh mungkin memastikan rakyat bekerja di negara sendiri dan jika mereka bekerja di luar negara, biarlah bilangannya tidak terlalu ramai,” katanya.

Bagi mengatasi situasi itu, Anuar berharap Malaysia dapat mempertimbang kadar gaji munasabah, selain meningkatkan fasiliti serta infrastruktur untuk kemudahan semua pihak.

“Usaha ini sekali gus mampu mengekang ‘perpindahan’ besar-besaran bakat tenaga kerja mahir dalam negara,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat berkata, Malaysia tidak mempunyai masalah bakat dalam kalangan rakyat, sebaliknya berdepan isu gaji sehingga menyebabkan ramai ‘lari’ ke Singapura untuk mencari peluang pekerjaan.

Katanya, negara ini tidak akan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir, sekiranya Malaysia membayar dua pertiga gaji seperti di Singapura. – 20 September, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related