KUALA LUMPUR – Perletakan jawatan E Elavarasan sebagai Ketua Jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun secara mengejut, mencetuskan persoalan dalam pasukan bola sepak.
Antara persoalan sering ditanya adalah sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Elavarasan tunduk kepada tekanan dicetuskan peminat bola sepak di media sosial, selepas Harimau Muda tewas 1-0 kepada Thailand di Chonburi pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 minggu lalu.
Bercakap kepada Scoop, tokoh ikonik bola sepak tempatan, Shukor Adan berkata, FAM tidak pernah tertekan dengan desakan peminat sukan itu dan beliau percaya, badan bola sepak berkenaan perlu membuat keputusan kerana ia memerlukan khidmat Elavarasan untuk skuad senior.
“Saya tidak mempunyai sebarang komen peribadi mengenai keputusan Elavarasan, tetapi saya percaya Kim Pan-gon memerlukan kepakarannya untuk pasukan kebangsaan, sebelum kempen Piala Asia pasukan kerana dia juga penolong jurulatih.
“Saya tidak fikir komen negatif peminat memainkan peranan dalam keputusan Elavarasan.
“Setahu saya, Elavarasan seorang yang sangat kuat dengan mentaliti sangat positif. Peminat berhak menyuarakan apa sahaja mereka mahukan di media sosial dan mengenali FAM, mereka sentiasa mengambil sikap positif dalam menangani kritikan peminat,” katanya yang menjadi kapten Harimau Malaya pada Piala Asia 2007.
Shukor berkata, sesiapa yang diambil FAM untuk memegang jawatan itu sepatutnya dapat mengekalkan momentum dilaksanakan Elavarasan.
“Saya percaya FAM akan mencari calon sesuai untuk menggantikan Elavarasan.
“Saya hanya berharap jurulatih baharu dapat mengetuai pasukan dan mengekalkan suasana positif diterapkan Elavarasan menjelang Piala AFC-U23 2024,” tambah Shukor.
Sementara itu, bekas penolong jurulatih Harimau Malaya, S Balachandran, menyuarakan sentiment sama dengan mengatakan Elavarasan melakukan tugas hebat apabila berjaya membawa Harimau Muda ke gemilang dalam tempoh singkat.
“Elavarasan adalah seorang daripada pemain terbaik dalam bola sepak Malaysia dan peletakan jawatannya secara tiba-tiba, mengejutkan kami dalam pasukan bola sepak.
“Bukan mudah bagi mana-mana jurulatih tempatan mengulangi kejayaan seperti dilakukannya untuk skuad muda dengan sumber terhad.
“Dia lebih seperti pengurus sementara untuk Harimau Muda dan saya percaya dia sudah melakukan bahagiannya dengan memastikan kelayakan Piala Asia dalam tempoh singkat,” kata Balachandran.
Bekas pemain antarabangsa Malaysia itu berkata, peletakan jawatan ketua jurulatih terbabit tidak akan menjejaskan mentaliti pemain dan percaya, FAM sentiasa melakukan yang terbaik untuk memajukan sukan berkenaan.
“Pemain Harimau Muda kami benar-benar profesional. Saya mengenali ramai daripada mereka dan melihat perkembangan mereka selama ini.
“Perletakan jawatan Elavarasan tidak akan menjejaskan pasukan dan pemain kami mampu menyesuaikan diri dengan mana-mana jurulatih.
“FAM sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi kepentingan sukan di Malaysia dan saya percaya, presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin akan mengumumkan pengganti sesuai dalam beberapa hari akan datang. Peminat perlu bertenang dan mempercayai proses FAM,” tambah Balachandran.
Walaupun membawa Harimau Muda ke Piala Asia U23, Elavarasan memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih pasukan itu.
Menurut kenyataan hari ini, FAM mencapai persefahaman bersama Elavarasan yang membolehkannya menumpukan tugas bersama Harimau Malaya, sambil memberi ruang kepada pihak lain menggalas tanggungjawab Piala Asia B-23 pada April ini.
Elavarasan dilantik sebagai Ketua Jurulatih Bawah 23 pada September tahun lalu, menggantikan Brad Maloney.
Di bawah bimbingannya, Harimau Muda memenangi Piala Merlion di Singapura pada Mac dan turut mara ke separuh akhir Kejohanan AFF B-23 bulan lalu di Rayong, Thailand. – 19 September 2023