KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Nabila Razali masih enggan mengulas apa-apa kenyataan berhubung isu pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan dan berharap agar semua pihak dapat menghormati privasinya.
Nabila yang mesra disapa sebagai Bella berkata, dia masih belum bersedia untuk berkongsi apa-apa kenyataan rasmi dengan mana-mana pihak.
“Jika Bella sudah bersedia, Insya-Allah Bella akan umumkan,” katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang media drama bersiri, Luruhnya Bunga Cinta di Taman Tun Dr Ismail, sebentar tadi.
Bella juga menafikan bahawa dia pernah berkongsi apa-apa kenyataan atau gambar berkaitan dengan kisah peribadinya di mana-mana sosial medianya.
“Saya tidak pernah kongsi apa-apa. Apa yang berlaku di luar adalah di luar bidang kuasa saya. Tapi, untuk diri saya sendiri, jika saya sudah bersedia, sudah tentu saya akan umumkan kepada rakan-rakan media, rakan selebriti dan siapa-siapa yang mengenali diri saya.
“Tapi, saya amat berharap buat masa sekarang ini, semua orang menghormati keputusan saya dan menghormati privasi saya,” katanya.
Ditanya apakah dia mengalami tekanan apabila sering diasak pertanyaan mengenai isu peribadinya, Bella berkata, sejak dari awal penglibatan di dalam industri hiburan telah dihadapinya.
“Bukan pasal isu ini sahaja, tetapi juga berkaitan dengan kritikan dan cemuhan yang saya terima sebelum ini (soal vokal dan nyanyiannya secara live).
“Ia memang sudah menjadi asam garam sebagai seorang anak seni. Sentiasa diperhatikan dan sentiasa dijadikan bahan cerita.
“Saya tiada perasaan marah. Cuma macam yang saya katakan tadi, tolong hormati keputusan saya,” katanya.
Mengenai penglibatannya di dalam drama bersiri, Luruhnya Bunga Cinta yang diadaptasi daripada drama siri Korea popular, Autumn In My Heart, Bella akui, dia berhadapan dengan cabaran apabila wataknya sebagai Sara bukanlah sebuah karakter yang original.
“Dalam Autumn In My Heart, watak Sara tidak wujud dan ia hanya diwujudkan di dalam Luruhnya Bunga Cinta untuk menguatkan lagi jalan cerita.
“Saya tidak boleh menjelaskan sama ada watak saya ini adalah watak protagonis atau antoganis. Tapi, apa yang boleh saya katakan ia memang sebuah watak yang penting. – 17 September, 2023