Peniaga disaran beli beras import borong, harga RM160 bagi 50kg

Dengan pembelian borong bagi BPI (beras putih import) oleh peniaga, BPT (beras putih tempatan) yang ada di pasaran boleh dibeli rakyat

7:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengusaha dan peniaga makanan di seluruh negara disyorkan membeli beras putih import (BPI) secara borong menerusi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang ditawarkan pada harga RM160 bagi kuantiti 50 kilogram (kg).

Harga berkenaan bersamaan RM32 bagi 10kg.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Azman Mahmood berkata, syor itu dikemukakan kepada persatuan peniaga dalam pertemuan bersama kementerian semalam bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT).

Beliau berkata, dengan pembelian borong bagi BPI oleh peniaga, BPT yang ada di pasaran boleh dibeli rakyat.

“Sebab itu kita jumpa persatuan peniaga semalam, minta mereka sampaikan juga kepada ahli mereka supaya jangan pakai BPT, tapi guna beras import kita bagi harga borong. Ini bagi memastikan BPT dapat dinikmati oleh rakyat biasa.

“Persatuan-persatuan perniagaan makanan ini memohon lesen borong bagi mendapatkan BPI pada harga borong iaitu RM160 bagi 50kg atau RM3.20 bagi per kg, berbanding RM4.10 per kg kalau dibeli secara runcit. Hasil perbincangan semalam, persatuan secara konsensus bersetuju untuk mendapat lesen borong berkenaan,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu peniaga lebih bertimbang rasa dan tidak sewenangnya menaikkan harga makanan dengan alasan harga beras naik.

“Peniaga jual nasi kosong RM2, peniaga sendiri dah naikkan dulu harga, kerajaan tak naikkan harga beras tempatan tapi peniaga dah naikkan siap-siap, sebab itu peniaga juga kena jujur, jangan tekan kerajaan.

“Sebelum ini BPT ini tidak ramai orang minat untuk beli, kemudian dibeli dalam kuantiti banyak oleh peniaga, malah yang proses bihun pun guna BPT, tender kerajaan (penyediaan makanan) semua guna BPT.

“Mereka nak (beli) murah tapi hendak untung banyak, jadi saya kena jelaskan di sini supaya semua pihak tidak panik,” katanya.

Mengenai BPT, Azman berkata, pihaknya menjangkakan tempoh satu hingga dua bulan lagi diperlukan untuk memastikan BPT kembali stabil dalam pasaran.

“Penyelesaian akan dilaksana secara berperingkat, mulai minggu lalu juga pasar raya sudah mengambil pesanan.

“Lebih kurang 10 ribu tan atau satu juta kampit beras tempatan akan berada dalam semua pasar raya sebulan. Menerusi pesanan dalam sistem, pasar raya akan mengedarkan di semua cawangan mereka, akan ada longgokan nanti dan orang ramai boleh membeli beras tempatan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga mahu keutamaan pembelian BPT kepada rakyat tempatan dan penguatkuasaan lebih ketat bagi pembelian beras bersubsidi.

“Kita pernah tangkap baru-baru ini di Bukit Jalil, ada warga Bangladesh yang membeli BPT sampai penuh satu van dan hasil siasatan beras itu dijual kembali dalam kalangan warga mereka. Jadi kita tidak mahu ada pihak salah guna dan ambik kesempatan beras subsidi dan jual kepada warga asing,” katanya. – 16 September, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

[UPDATED] AGC requests high court for gag order on public discussion of Najib’s addendum case 

Attorney-General’s Chambers also does not want lawyers to hold watching briefs on hearings for the opposition

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related