Bunuh Tiga Kanak-Kanak: Mahkamah Rayuan kekal hukuman mati terhadap buruh

9:23 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang buruh kerana membunuh tiga kanak-kanak yang juga merupakan adik-beradik, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan Shahrul Pitri Jusoh terhadap sabitan dan hukuman mati.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Vazeer berkata pembelaan Shahrul Pitri terhadap kehilangan akal dari segi undang-undang telah disangkal oleh pakar perunding psikiatri forensik yang memberi keterangan bahawa tertuduh waras semasa melakukan perbuatan tersebut.

Mengenai hukuman mati, Hakim Vazeer menolak permintaan Shahrul Pitri supaya hukuman mati terhadapnya digantikan dengan hukuman penjara.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan mempunyai budi bicara untuk mengetepikan hukuman mati terhadap Shahrul Pitri, 40, dan menggantikan dengan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun berdasarkan pindaan terbaharu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada asas munasabah untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya berbuat demikian.

Melihat kepada keseluruhan keterangan dan mitigasi yang dikemukakan oleh perayu, beliau berkata adalah menjadi pandangan mahkamah bahawa ia perlu memberi keutamaan kepada kepentingan awam serta kepentingan mangsa dan keluarga mangsa.

Hakim Vazeer berkata tiga kanak-kanak itu terbunuh akibat perbuatan kejam perayu.

Justeru, hukuman mati dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap perayu dikekalkan.

Pada 6 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Shahrul Pitri bersalah membunuh Muhammad Faqih Zahirulhag Mohd Fadzil,5, Muhammad Firash Zafrill, 3, serta Nur Zia Fasihah, dua tahun.

Dia melakukan perbuatan itu di rumah projek bantuan bina rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang pada 17 Mei 2018.

Shahrul Pitri juga dijatuhkan hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah kerana cubaan membunuh dengan menggunakan parang terhadap ibu mangsa, Zuraidah Mat Ali, 37, di tempat dan masa yang sama.

Dia juga dikenakan tambahan enam tahun penjara kerana didapati bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kakak mangsa, Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 10, rakannya, Nur Aina Umaira Subri, 11, dan guru Redhuan Embi, 37.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap.

Terdahulu, peguam yang dilantik mahkamah,  Rajit Singh, memaklumkan bahawa Shahrul Pitri hanya merayu berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan membunuh.

Beliau berkata Shahrul Pitri menarik balik rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan.

Mahkamah kemudiannya membatalkan rayuannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud berhujah bahawa keterangan perunding psikiatri forensik, Dr Ian Lloyd Anthony tidak menyokong pembelaan Shahrul Pitri terhadap alasan kehilangan akal.

Beliau juga meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati dengan mengatakan bahawa ia melibatkan tiga kanak-kanak kecil yang tidak bersalah.

Shahrul Pitri mempunyai satu lagi hak rayuan iaitu di Mahkamah Persekutuan. – 14 September, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related