KUALA LUMPUR – Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) perlu diberi lebih ruang dan peruntukan bagi menangani masalah ekstremisme termasuk yang mencengkam lanskap politik negara.
Lee Chuan How (Dap- Ipoh Timur) berkata, melihat situasi ketika ini, SEARCCT tidak ‘menang tangan’ dalam menangani masalah keganasan.
“Beri sedikit lebih ruang dan peruntukan untuk SEARCCT buat intervensi awal, penyelidikan dan kajian supaya lebih menang tangan menangani masalah keganasan.
“Kegiatan radikal dan keganasan bukan satu ancaman baharu malah Malaysia berdepan kegiatan ini sejak 1960 dulu,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, hari ini negara berdepan ancaman radikal dan keganasan bentuk baharu iaitu ektremis politik dan gerakan radikal secara dalam talian.
“Kumpulan pelampau tunggang dua elemen ini, guna lagi politik identiti untuk meyakinkan penyokong supaya berjuang demi kepentingan politik mereka, kesannya rakyat cenderung buat keganasan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu turut memberi impak kepada generasi muda yang membesar dengan pelbagai cabaran.
“Kita sering dengar cerita ada anak muda dipinggirkan di sekolah dan mudah untuk dia terbuka hati apabila diajak menghadiri kempen politik
“Penceramah atas pentas beritahu undi saya masuk syurga, undi lain masuk neraka, penceramah suruh ‘perang’ dengan yang tidak sama agama.
“Apabila budak muda ini dengar, berderau darah dia. Selama ini tidak ada matlamat. Mereka ini hanya jadi mangsa propaganda ekstremisme yang hendak memecahbelahkan kita semua,” katanya.
SEARCCT yang dirasmikan pada 2003 berperanan membentuk perspektif Malaysia dalam menangani isu keganasan dan mencegah keganasan melalui pendekatan yang komprehensif.
Ia memberikan tumpuan kepada penyiasatan, perundangan, pengurusan krisis, keselamatan udara dan maritim, keganasan siber, belia dan pencegahan keganasan, pemulihan dan kewangan pengganas. – 14 September, 2023