KUALA LUMPUR – Pemenang tempat kedua Miss Universe Malaysia 2020, Serene Claire mengakui cabaran terbesar dihadapinya sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri, Gadis Muzikal adalah bertutur dan menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Apatah lagi, bila drama muzikal arahan Kyroll Hamzah yang turut menggandingkannya dengan empat lagi teraju utama iaitu Aisha Retno, Fiza Thomas, Tika Nasir dan Khodi itu merupakan drama Melayu pertama lakonannya.

“Bahasa Melayu merupakan cabaran terbesar. Sebab saya memang tidak bercakap bahasa Melayu sepanjang hidup saya. Boleh dikatakan, tahun ini adalah tahun paling banyak saya bercakap dan guna bahasa Melayu.
“Saya rasa seronok sebab ia satu cabaran baru dan juga satu pencapaian dalam hidup saya pada tahun ini.
“Saya juga bersyukur sebab saya mempunyai rakan pelakon gandingan yang sangat baik dan suka membantu. Saya berjanji, saya akan terus belajar untuk menguasai dan mendalami bahasa ini,” katanya.
Pernah membintangi beberapa drama Cina di NTV7 dan beberapa filem di China dan Hong Kong, Serene mendedahkan, dia hampir berputus-asa dalam bidang lakonan dan hiburan hingga mengambil keputusan untuk menarik diri.
“Saya sudah 10 tahun menceburkan diri dalam bidang ini, tapi sering tak dapat peluang. Malah, entah kenapa, filem yang saya jalani penggambaran itu tidak pernah keluar.
“Saya kemudian meninggalkan Malaysia untuk seketika dan bekerja di Dubai selama enam bulan dalam industri teknologi blockchain. Mungkin, bidang korporat lebih sesuai dengan jiwa saya.
“Tapi kemudian, kawan saya Daniel Fong yang juga seorang penyanyi memperkenalkan saya dengan pengurusnya, Jamal dan dia beritahu saya mengenai satu uji bakat Zeel Productions Sdn Bhd,” katanya.
Sekadar pergi untuk mencuba, Serene tidak menjangka terpilih untuk melakonkan satu watak utama walaupun tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
“Mereka kata tak perlu risau tentang bahasa Melayu kerana saya boleh belajar. Sebab itulah saya bekerja keras untuk menguasai dan mendalami bahasa itu serta cuba bertutur dengan lebih kerap,” katanya.

Jelas Serene lagi, dia amat berterima kasih kepada Zeel Productions Sdn Bhd kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk melakonkan salah satu watak utama dalam Gadis Muzikal.
“Bukan setakat itu sahaja, saya turut mendapat peluang kedua bersama mereka untuk satu lagi drama bersiri Slot Akasia, Aku Cinta Dia yang mana saya menjadi perempuan simpanan kepada Zamarul Hisham.
“Kalau Gadis Muzikal, kandungannya lebih kepada remaja, Aku Cinta Dia pula lebih kepada kekeluargaan dan perebutan harta.
“Shooting (penggambaran) sudah bermula di Perak, tetapi bahagian saya belum lagi dilakukan. Saya rasa ia akan mula dilakukan selepas pasukan produksi pulang pada Oktober ini,” kata gadis kelahiran Johor Bahru itu.
Gadis Muzikal, mengisahkan perjuangan lima wanita yang mempunyai latar belakang berbeza, berjuang mencapai impian bergelar penyanyi terkenal.
Mereka kemudian digabungkan dalam satu kumpulan dikenali sebagai Anglez.
Drama bersiri 13 episod itu disiarkan menerusi slot Lestary TV3, setiap Khamis hingga Sabtu. – 12 September, 2023