Hafiz Nafiah tunggu 20 tahun bergelar pengarah, impian tercapai menerusi Mat Kola

Sepanjang tempoh itu, dia menimba ilmu menerusi belakang tabir produksi, sebelum bersedia di kerusi pengarahan

8:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas hampir 20 tahun menanti, impian pelakon Hafiz Nafiah duduk di kerusi pengarah menjadi kenyataan apabila tampil dengan filem arahannya yang bergenre komedi berjudul Mat Kola.

Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, 39, berkata, filem terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu akan menjengah pawagam pada 21 September ini.

“Saya bersyukur diberi peluang dan kepercayaan mengarah filem Mat Kola daripada penerbit, Azman Ahmad. Kami sudah kenal sejak 20 tahun lalu. Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada Penerbit Eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.

“Idea asal filem Mat Kola adalah dari Azman, tetapi penulis skripnya adalah Pijon yang memang sudah biasa menulis cerita dialek utara (Kedah),” katanya.

Penggambaran filem Mat Kola membabitkan kos mencecah RM1 juta dan telah berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu – Gambar ihsan Hafiz Nafiah, 11 September, 2023

Ditanya kenapa mengambil masa lama untuk bergelar pengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi, sebelum bersedia di kerusi pengarahan.

“Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia menggalas kerusi pengarah. Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.

“Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu. Saya harap filem Mat Kola menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah,” katanya.

Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem itu, Hafiz berkata, nama Mat Kola dipilih kerana filem berkenaan menceritakan mengenai kisah tiga anak jati Kuala Kedah, iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

Ditanya kenapa mengambil masa lama untuk bergelar pengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi, sebelum bersedia di kerusi pengarahan – Gambar ihsan Hafiz Nafiah, 11 September, 2023

“Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu. Filem ini mengambil masa dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan, seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya.

“Jalan cerita filem ini agak santai. Ia mengenai kisah peniaga burger dan semoga ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga. Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.

“Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali, sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan kepada pelakon,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon, antaranya Usop Mentor, Taiyuddin Bakar, Rozita Che Wan, Ropie, Putri Hanan, Fendi London, Mohd Hafeezul, Abang Gee yang kebanyakannya berasal dari Kedah.

Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di Tingkatan Empat.

“Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun. Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kepada Kumpulan Phyne Ballerz.

“Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Profesor Madya Datuk A Razak Mohaideen pada 2004,” kongsinya.

Bermula dari situ, katanya, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.

“Saya bermula sebagai ‘runner’, pembantu produksi, ‘handyman’, pengurus produksi dan konti, termasuk terbabit dalam kumpulan teknikal untuk pelbagai jawatan, sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah dalam filem A Razak Mohaideen,” katanya. – 11 September, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related