Perhimpunan 16 September perlu ikut undang-undang, buat permohonan dulu: Ayob Khan

Mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perhimpunan perlulah membuat permohonan lima hari daripada tarikh perhimpunan itu diadakan

4:37 PM MYT

 

IPOH – Pihak yang ingin mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 16 September ini perlu mengikut lunas undang-undang, termasuk membuat permohonan untuk menganjurkannya terlebih dahulu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlulah membuat permohonan lima hari daripada tarikh perhimpunan itu diadakan.

“Kedua, pemohon juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik-pemilik premis di kawasan terlibat, dalam konteks ini saya difahamkan perhimpunan ini akan diadakan di kawasan Sogo, (jadi) mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan juga Sogo.

“Permohonan ini perlu dikemukakan lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan, kalau ikutkan hari inilah yang terakhir (untuk membuat permohonan), dan ketiga mestilah tiada bantahan daripada masyarakat yang berada di sekeliling, mungkin pemilik gerai-gerai atau Sogo yang perlu buat bantahan dalam masa 48 jam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara ke-44 di sini hari ini.

Ditanya tindakan polis sekiranya pihak berkenaan masih tidak membuat permohonan hari ini dan bertegas untuk tetap mengadakan perhimpunan, Ayob Khan menjawab: “Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada”.

Semalam, media melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan satu perhimpunan aman di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada Sabtu ini bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata kempen itu digerakkan pihaknya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Ayob Khan berkata terdapat 140 laporan polis dibuat sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sebelum ini, dengan empat kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Dua daripada empat kertas siasatan itu dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya. – 11 September, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related