PRK: 205,810 pengundi Pulai, Simpang Jeram mengundi hari ini

Dijangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu melebihi 70 peratus

8:55 AM MYT

 

JOHOR BAHRU – Kira-kira 205,810 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram hari ini, bagi memilih wakil rakyat.

Daripada jumlah itu, seramai 165,509 pemilih berdaftar mengundi bagi Parlimen Pulai, manakala 40,301 pengundi memilih wakil rakyat baharu di Simpang Jeram.

Sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran disediakan di Parlimen Pulai dan 14 pusat mengundi merangkumi 68 saluran dibuka bagi DUN Simpang Jeram, dengan kesemua lokasi bermula serentak jam 8 pagi dan ditutup 6 petang.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka, berikutan kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Kedua-kedua kawasan berkenaan, masing-masing menyaksikan saingan tiga penjuru, membabitkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Bagi Parlimen Pulai, PH mempertaruhkan mantan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang dicabar calon PN, Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas).

DUN Simpang Jeram menyaksikan PH meletakkan mantan jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman sebagai calon, sementara PN diwakili pakar bedah, Dr Mazri Yahya dan S Jegananthan (Bebas).

Sebelum ini, seramai 927 pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Parlimen Pulai, manakala proses terbabit tidak dilaksanakan di Simpang Jeram.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu melebihi 70 peratus.

Beliau turut menyasarkan keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan dapat diumumkan lebih awal, berbanding sebelum ini. – 9 September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

Related