KUALA LUMPUR – Biarpun dunia penyiaran radio sentiasa dalam jiwa Halim Othman, 58, mengakui dia tidak berhasrat untuk kembali menjadi penyampai radio secara tetap.
Menurut Halim, faktor usia menjadi antara penyebab dia kini lebih berminat melakukan tugasan itu secara sambilan.
“Waktu muda-muda dulu, kita bolehlah datang kerja mengikut jadual waktu ditetapkan dan menghabiskan masa dan tumpuan kita dengan dunia kerja di radio.
“Tapi sekarang ini, ia bukan lagi satu keutamaan. Kalau melakukannya secara sambilan pada tempoh waktu yang singkat atau tertentu sahaja, saya tidak kisah.
“Contohnya, baru-baru ini saya dan Linda Onn ditawarkan untuk muncul dalam segmen pagi Era iaitu 3 Pagi Era bersama Nabil, Azad dan Radin.
“Saya terima kerana penglibatan saya dan Linda di dalam segmen itu hanyalah selama 13 hari sahaja,” katanya kepada Scoop.
Tidak menyangka kemunculan mereka berdua mendapat sambutan ramai, Halim berkata, dia dan Linda sekali lagi akan muncul di stesen radio tersebut tetapi dalam segmen berbeza.
“Bermula 11 September ini, saya dan Linda akan muncul dalam Segmen 101 Era bersama Ray dan Hanif. Kemunculan saya dan Linda ini khabarnya adalah atas permintaan peminat.
“Sekali lagi saya menyatakan persetujuan kerana tempohnya tidak lama iaitu hanya enam minggu sahaja untuk tempoh waktu survey radio,” katanya.
Mengimbas semula pengalamannya ketika menjadi penyampai radio Era bermula 1 Ogos 1998, Halim mengakui, dia pernah terkena kejutan budaya disebabkan kejayaan dicapainya dalam tempoh yang singkat itu.
“Hidup saya kemudian menjadi huru-hara dan saya tidak tahu bagaimana untuk menanganinya, lebih-lebih lagi sewaktu saya meninggalkan Era.
“Saya kemudian mendiamkan diri untuk tempoh yang lama. Ia waktu yang gelap dalam kehidupan saya.
“Lebih-lebih lagi selepas saya kehilangan ibu dan kemudian saya mendapat tahu tentang kewujudan anak saya. Itulah yang berlaku kepada saya ketika itu,” katanya.
Halim juga memberitahu dia gembira apabila kemunculan anaknya, Myra Natasha dalam industri hiburan mendapat reaksi positif.
“Saya banyak dengar orang kata dia sangat pandai membawa diri dan petah berbicara.
“Bagi saya, mungkin itulah kelebihan seseorang apabila dia membesar tanpa terlalu bergantung kepada ibu dan bapanya,” katanya. – 8 September, 2023