KUALA LUMPUR – Demi anak dan kebaikan kedua-dua belah pihak, pelakon Adam Shahz membuat pindaan terhadap kes di mahkamah untuk memberikan hak penjagaan anak yang sepenuhnya kepada bekas isterinya, Fateen Afeefa.
Menurut Adam Shahz, tindakan itu dilakukan bukan disebabkan dia mengalah, sebaliknya atas nasihat peguamnya supaya isu ini tidak berpanjangan.
“Kalau saya minta hak penjagaan sepenuhnya, ia akan ambil masa lebih panjang. Akan banyak lagi perkara yang tidak sepatutnya akan keluar.
“Dan untuk kes mahkamah melibatkan hak penjagaan anak, peguam memberitahu, tidak sepatutnya ada pihak yang menang atau ada yang kalah dalam hal ini. Sebaliknya, ia adalah win-win situation dan ia perlu seimbang,” katanya kepada Scoop di majlis prebiu filem Walid.
Namun, pada masa sama, Adam Shahz memaklumkan mahkamah masih belum memberikan apa-apa keputusan berhubung kes tersebut mamandangkan ada beberapa isu yang perlu diselesaikan.
“Kami memang sedang tunggu keputusan mahkamah sekarang ini kerana masih terdapat beberapa percanggahan di antara kami dan kita sedang mencari keputusan yang adil untuk semua.
“Cuma untuk tempoh interim, mahkamah sudah memberikan kelulusan terhadap permohonan saya untuk memberikan hak penjagaan anak sementara kepada pihak di sebelah sana, manakala hak bermalam dan melawat diberikan kepada saya.
“Saya tidak mempunyai sebarang isu memberikan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada pihak di sebelah sana. Asalkan saya boleh jumpa anak dan jangan sukarkan waktu saya untuk berjumpa anak.
“Alhamdulillah, melalui perintah interim. Saya tidak punya masalah untuk jumpa anak dan saya pun dah banyak kali jumpa pun. Bahkan, hubungan saya dengan pihak di sebelah sana juga semakin okay dan berjalan lancar,” jelasnya.
Ditanya mengapa dia dan Afeefa tidak menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah, Adam Shahz berkata, melalui pengalamannya sendiri, dia berpendapat isu hak penjagaan anak ini memang memerlukan penglibatan mahkamah.
“Saya rasa perkara ini kena ada satu keputusan atau perintah daripada mahkamah dan ia lebih mudah. Saya tidak mahu kemudian hari nanti ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati. Mungkin di pihak saya atau mungkin juga di pihak sebekah sana.
“Kita tidak mahu perkara itu berlaku dan tidak mahu sukarkan pembelajaran anak anak dan menjejaskan tumbesarannya. Apa yang saya buat ini memang untuk kebaikan kedua-dua belah pihak. Hak seorang ibu ada dan hak seorang bapa pun ada,” katanya.
Pelakon filem Airforce: Selagi Bernyawa ini telah mengahwini Fatin Afeefa pada 21 Disember 2013, namun bercerai pada 2017. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ivy Herra Sophia, 8, manakala menerusi perkahwinan sebelum ini, Fatin sudah memiliki cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian yang berusia 10 tahun. – 6 September, 2023