NIMP 2030: Wadah perkasa industri, pelengkap ekonomi Madani

Kolaborasi antara syarikat awam dan swasta juga penting dalam mewujudkan suasana persaingan adil ke arah merealisasikan agenda

11:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mampu menjadi pelengkap kepada ‘Ekonomi MADANI’, dengan syarat ketersediaan tenaga kerja mahir berasaskan teknologi dalam negara perlu ditingkatkan.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini kerana NIMP 2030 memerlukan tenaga kerja mahir berasaskan teknologi bagi memenuhi permintaan sektor pekerjaan baharu yang bakal wujud menerusi pelan itu kelak.

Mengambil contoh kejayaan Indonesia dinobat sebagai negara berpendapatan menengah atas oleh Bank Dunia baru-baru ini, susulan kejayaan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19, beliau berkata, Malaysia tidak boleh kekal ‘berpeluk tubuh’, sebaliknya perlu segera melaksanakan pembangunan industri lestari berasaskan teknologi.

“Kita mahu industri dapat ditingkatkan dari segi nilai tambah yang banyak menggunakan buruh berkemahiran tinggi, terutama dalam bidang reka bentuk dan pembangunan cip. Ia memerlukan perancangan rapi supaya pembinaan kapasiti dapat dilaksanakan dengan sistematik.

“Ditambah industri seperti aeroangkasa, EV (kenderaan elektrik) dan sebagainya yang menjadi pemangkin dalam industri hendak dibangunkan, sudah pasti ia melibatkan bidang kerja lebih kompleks,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, pemindahan teknologi daripada syarikat global ke negara ini juga perlu berlaku, manakala sistem pendidikan harus diperkasakan bagi melahirkan tenaga buruh berkemahiran tinggi, berketerampilan dan bijak menyelesaikan masalah dalam memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Beliau memaklumkan, kolaborasi antara syarikat awam dan swasta juga penting dalam mewujudkan suasana persaingan adil ke arah merealisasikan agenda itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan NIMP 2030 yang mengambil pendekatan berasaskan misi jelas dan akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem sektor pembuatan, malah seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian serta merealisasikan wawasan Malaysia.

NIMP 2030 menyasar untuk meningkatkan nilai tokokan pembuatan sebanyak 6.5 peratus kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, hasil daripada intervensi pelan induk tersebut bagi sektor berimpak tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Mohamad Sattar Rasul berkata, kerjasama antara sektor awam serta swasta dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta STEM penting, bagi memenuhi permintaan terhadap sumber tenaga cekap dan mahir selari dengan perubahan semasa.

Beliau berkata, peluang pekerjaan yang semakin meningkat dalam sektor ekonomi dan industri berasaskan kemahiran teknologi tinggi, adalah sejajar dengan kemajuan negara membabitkan bidang automasi serta kemajuan teknologi.

“Sistem gaji progresif akan diperkenalkan juga dapat memberi manfaat kepada pekerja dan menguntungkan industri. Produktiviti industri akan lebih meningkat apabila pendekatan gaji progresif ini dilaksanakan, dengan pekerja lebih komited dan berusaha memajukan industri mereka sertai,” katanya.

Menurut Mohamad Sattar, NIMP 2030 juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk masyarakat kelas pertengahan.

“Ia memandangkan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai mengubah sifat pekerjaan serta memerlukan lebih ramai tenaga kerja.

“Namun, kita perlu membangunkan kecekapan masa depan ini selari dengan strategi dan fokus perindustrian itu,” katanya. – 2 September, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related