KUALA LUMPUR — Gara-gara dakwaan ditipu perunding yang dilantik mengendalikan Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia anjuran syarikatnya, pelakon Riezman Khuzaimi mengakui perkara itu memberikan kesan yang mendalam kepada dirinya sehingga mengalami depresi selama dua bulan.
Dalam tempoh berkenaan, Riezman berkata dia tidak mempunyai semangat untuk melakukan sebarang aktiviti termasuk membuat live di TikTok setiap hari seperti kebiasaannya, serta lebih gemar mengasingkan diri.
“Depresi yang saya alami ini bermula selepas saya mendapat tahu konsultan yang dilantik tidak menjalankan kerja seperti membayar lokasi, sistem bunyi, memohon lesen dan sebagainya.
“Ramai pengikut saya di TikTok juga tertanya-tanya kenapa saya dah lama tak buat live di TikTok. Entahlah, saya memang tidak ada mood untuk muncul di platform tersebut buat masa ini.
“Sebab saya tahu, bila saya muncul sahaja, saya pasti akan dihujani dengan pelbagai persoalan mengenai isu tersebut dan ini akan membuatkan saya berasa lebih depresi lagi.
“Malah, percaya atau tidak, saya juga tidak ambil tahu langsung tentang penganjuran Anugerah TikTok 2023 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini,” katanya sewaktu ditemui Scoop.
Riezman adalah antara selebriti tempatan yang cukup aktif mengadakan live di TikTok dan mempunyai ramai pengikut di platfotrm tersebut. Tidak hanya setakat itu, dia juga mempunyai agensi pempengaruh TikTok yang dinaungi beberapa selebriti tempatan.
“Ada di kalangan selebriti-selebriti ini yang bertanya tentang keadaan diri saya. Tapi, saya biarkan kakitangan di agensi saya yang uruskan mereka. Sekarang ini saya masih lagi dalam fasa yang belum sepenuhnya okay dan saya tidak tahu bila saya akan buat live di TikTok semula. Tunggu masa dan ketikanya.
“Kebelakangan ini juga, saya mula mendekatkan diri dengan kegiatan hiking serta naik gunung dan saya baru sahaja pulang dari panjat Gunung Kerunai di Grik, Perak. Saya yang anjurkan sendiri ekspedisi menaiki Gunung Kerunai ini.
“Saya rasa lebih tenang bila dapat melakukan kegiatan yang mendekatkan diri dengan alam ini. Apatah lagi bila dikelilingi pemandangan alam yang indah dan menakjubkan. Ia cukup membantu untuk menangani masalah depresi saya ini,” katanya.
Mengenai penganjuran Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia yang masih lagi diteruskan dan dijadual berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 30 September ini, Riezman berkata, dia telah menyerahkan tugas tersebut kepada rakan kongsinya.
“Dia yang akan uruskan tentang segala hal yang berkaitan penganjuran konsert tersebut dan saya harap kali ini, ia akan berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia yang diterbitkan di bawah syarikat produksinya, Projek Mission Sight Sdn Bhd dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos lalu, namun terpaksa ditunda selepas pihak konsultan yang dilantik didakwa gagal melaksanakan kerja.
Riezman dalam satu sidang media pada pertengahan Julai lalu mendakwa, dia mengalami kerugian kira-kira RM1 juta setelah didakwa ditipu perunding yang dilantik mengendalikan Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia tersebut.
Dakwa Riezman lagi, dia menyedari dirinya ditipu sewaktu menghadiri sidang media pertama pengumuman konsert tersebut pada 22 Mei lalu dan hasil siasatan yang dilakukannya mendapati pihak terbabit tidak menjalankan kerja sedangkan bayaran perkhidmatan sebanyak RM300,000 sudah pun dilunaskan.
Susulan itu, Riezman membuat laporan polis pada 14 Jun lalu dan kes terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa. – 1 September, 2023