Umno tidak peralat, guna Islam raih undi seperti PAS, ‘sebab kita tak tergamak’

Perbuatan menggunakan agama bagi membenarkan sesuatu perbuatan demi memenuhi kehendak politik, memberikan imej salah terhadap Islam

7:57 PM MYT

 

MUAR – Umno tidak akan sesekali menggunakan agama sebagai alat politik untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, seperti dilakukan PAS. 

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbuatan menggunakan agama bagi membenarkan sesuatu perbuatan demi memenuhi kehendak politik, memberikan imej salah terhadap Islam.

“Mana dia (PAS) tahu (calon Pakatan Harapan DUN Simpang Jeram) Nazri (Abd Rahman) tak boleh buat kerja, tidak adil kata begitu dan dia siapa untuk kata orang ini Islam, orang itu bukan. Lebih baik jangan. 

“Sebabnya kita ni semua orang Islam tapi kita tak nak memperalatkan agama untuk mencapai matlamat politik kita. Sebab kita tidak tergamak. Tak seperti PAS,” katanya pada program walkabout di Taman Jeram Mulia di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Mohamed Khaled berkata, Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS ketika ini dilihat galak menggunakan agenda bahawa akar umbi Umno masih lagi tidak boleh menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). 

Ujar Menteri Pendidikan Tinggi itu, ia hanya polemik diwujudkan pembangkang sebagai peluru politik bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap calon Kerajaan Perpaduan. 

“Mereka akan cuba menggunakan isu berkenaan untuk mengelirukan serta menghilangkan keyakinan pengundi kepada Umno, BN, berhubung keputusan parti memberi sokongan kepada PH. 

“Itu hanya strategi biasa, kita pun ada taktiklah, di mana ia sedikit sebanyak berjaya di enam Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini,” katanya. 

Mengulas lanjut, Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, Nazri yang juga bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), mempunyai peluang menang di kerusi ditandinginya berikutan beliau calon tempatan yang dekat di hati masyarakat. 

“Setakat lawatan saya lakukan mendapati, hanya soal bantuan dibangkitkan penduduk, tiada soal perparitan, infrastruktur dan saya percaya berbekalkan pengalaman serta hubungannya dengan banyak jabatan di Muar, Nazri tentunya mampu menyelesaikan isu.

“Apapun, paling penting ini adalah PRK, bukan pilihan raya untuk pilih kerajaan negeri atau kerajaan pusat, maka pengundi tidak sewajarnya mensia-siakan undi mereka.

“Kita khuatir ada pengundi tercari-cari logo Barisan Nasional (BN) ketika mengundi, namun jentera sedang mendekati mereka untuk memberi penerangan agar tidak memberi undi kepada parti yang memang kewujudannya bermatlamat ganti UMNO dan BN,” katanya.

Selain Nazri, PRK DUN Simpang Jeram yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru ditandingi calon PN yang juga pakar bedah, Dr Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jegananthan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu, akibat pendarahan otak. – 31 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related