Ibarat mati hidup semula, saya sudah merdeka!: Ismahalil

Sewaktu di penjara, kehidupannya memang tidak merdeka. Tapi, selepas dibebaskan daripada pertuduhan, Ismahalil kini mengecapi peluang kedua untuk jalani hidup seperti insan biasa.

9:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Ketika seluruh rakyat Malaysia meraikan Hari Merdeka hari ini dan bakal menyambut Hari Malaysia ke-63 pada 16 September ini, penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah pula menyambutnya dengan cara yang berbeza.

Kemerdekaan bagi Ismahalil bukan sekadar kemerdekaan biasa, sebaliknya ia mempunyai pengertian yang cukup bermakna dan mendalam buat dirinya setelah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Julai lalu atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram dua tahun lalu.

Ismahalil, 50, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Keputusan berkenaan adalah peluang kedua buat Ismahalil untuk menjalani kehidupan seperti insan biasa semula, selepas dua tahun meringkuk di penjara, bahkan turut terlepas daripada hukuman gantung.

Berkongsi cerita dengan Scoop, Ismahalil berkata, kehidupan sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) dan banduan yang telah dijatuh hukum sebenarnya tidak ada beza.

Ismahalil Hamzah (kanan) bertemu dengan bekas penyanyi lagu ‘Saya Anak Malaysia’ dr Sam atau Dr Sam Rasputin,. – Gambar Facebook, 31 Ogos, 2023

“Sebab kehidupan kami di dalam penjara itu tidak merdeka. Kami tidak wajib dirikan solat Jumaat. Begitu juga dengan solat-solat fardhu. Kami tidak diwajibkan membayar zakat. Tapi, bila ada peluang dirikan solat Jumaat atau solat-solat fardhu, kita gunakan sebaik-baiknya.

“Di  dalam penjara, ada ustaz dari Jakim yang ditempatkan. Banyak perkara yang kita bincangkan tentang persoalan hukum-hukum. Ustaz pun cakap buat sahaja (solat). 

“Selain tidak merdeka, kehidupan kita dalam penjara juga ibarat macam kita dah mati. Kita hanya bernafas tapi tidak dapat berbuat apa-apa. Anak saya nak bertunang saya kata, teruskan. Rumah kat kampung saya terbakar, saya hanya boleh dengar sahaja. Dua orang ipar saya meninggal dunia, begitu juga bila sahabat saya, Allahyarham Mael XPDC meninggal dunia. Apa yang boleh saya lakukan? 

“Majlis raya atau apa sahaja majlis yang melibatkan keluarga, saya tidak dapat hadir sama. Saya cuma duduk kaku di dalam. Hanya doa-doa yang tidak putus-putus sahaja yang dapat dipanjatkan dan itulah masanya kita mendekatkan lagi hubungan dengan Tuhan. Hubungan kita dengan manusia sudah pun terputus ketika itu.

“Sebab itulah saya kata macam dah mati. Dan sepanjang berada di dalam penjara kita memang kena banyak bersabar dan reda dan apabila dibebaskan, kita tidak seharusnya mensia-siakan kehidupan kali kedua ini. Alhamdulillah, bila sudah keluar dari penjara, saya sudah pun merdeka.

“Pesan saya kepada adik-adik dan sahabat-sahabat semua yang ada di luar sana, kita raikanlah kemerdekaan ini dengan sebaik-baiknya dan kena bersyukur berbanding orang macam saya yang pernah berada di dalam sana atau orang yang masih lagi di dalam dan masih lagi belum Merdeka,’’ katanya.

Menyifatkan dirinya kini sudah ‘merdeka’ Ismahalil menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai satu ujian. – Gambar Scoop, 31 Ogos, 2023

Jelasnya, apabila mendapat peluang kemerdekaan ini, maka gunakanlah dengan sebaik-baiknya untuk berjuang dalam kehidupan, berjuang ke jalan Allah dan mencari rezeki untuk anak isteri.

Menyambung lagi perkongsiannya, Ismahalil berkata, sebaik sahaja dia dibebaskan, dia seolah-olah seperti mati hidup semula.

“Sebaik sahaja tiba di rumah, tidak putus-putus sahabat-sahabat dan anak-anak buah di sekitar Kuala Lumpur yang datang berjumpa dengan saya. Ada yang sedih dan ada yang menangis-nangis. Ada yang sampai terduduk di laman rumah, seolah-olah tidak percaya dapat berjumpa dengan saya semula.

“Ketika itu, barulah saya faham erti mati hidup semula. Esok pagi saya balik rumah mak saya pula. Sudah dua tahun saya tidak pernah jumpa, tidak peluk dan tidak cium ibu saya. Antara ibu dan anak, ada baunya yang tersendiri.

“Apa yang mengharukan adalah mak saya seolah-olah tidak mahu lepaskan saya. Kata mak, biarlah dia tiada harta atau tiada kebun, asal harta-hartanya adalah anak-anak mak. Saya kenalah jaga mak saya.

“Apapun saya bersyukur telah pun dibebaskan. Saya anggap apa yang saya lalui ini sebagai satu ujian daripada Allah SWT untuk mengingatkan saya terhadap tindak-tanduk yang tidak saya sedari sebelum ini. Ya, saya ibarat mati hidup semula dan saya sudah pun merdeka!,” katanya. – 1 September 2023 

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related