Sejajar semangat Merdeka, gugurkan cadangan pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan – Peguam

Menjadi tanggungjawab kerajaan menegakkan hak kesemua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang sudah dinafikan kewarganegaraan secara administratif kerana tiada siapa patut disisihkan

12:52 PM MYT

 

Dalam semangat Merdeka, kerajaan dituntut menggugurkan rancangan pindaan ‘kejam’ ke atas Perlembagaan Persekutuan bagi melahirkan Kelas Golongan Baru Tanpa Kewarganegaraan (stateless).

Menjelang Merdeka ke-66, kita menyambut kemerdekaan dari cengkaman penjajah yang selama ini diperjuangkan dengan gigih, selain bagi menempa dan menguatkan lagi semangat serta erti nationalisme kita.

Bagaimanapun, derita golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) menjadi isu pada Merdeka kali ini.

Mereka yang tanpa kewarganegaraan ini walaupun hanya mengenali Malaysia sebagai satu-satunya ibu pertiwi mereka, dilihat dinafikan hak status terbabit, dengan diambil mudah sebahagian besar dalam kalangan kita.

Sambutan ini bagi kami sudah dicemari kerana kerajaan yang menjanjikan reformasi, kini mengambil satu langkah aktif yang akan terus menghumban mereka kepada satu keadaan limbo tanpa harapan dan tanpa penyelesaian.

Pada Jun 2023, didedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan beberapa pindaan kepada peruntukan kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja akan memastikan mereka yang tanpa kewarganegaraan tidak diiktiraf, malah mewujudkan satu kelas baru golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) yang lebih besar di Malaysia.

Ianya bagai satu mimpi ngeri dan logik disebalik langkah kerajaan ini tidak dapat difahami.

Malah kerajaan sebelum ini yang tidak melaungkan reformasi atau ketelusan sekalipun tidak pernah mengambil tindakan seteruk ini.

Cadangan untuk pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1) (b) yang menyatakan ‘tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini’, akan membawa kesan dahsyat kepada mereka yang dilahirkan dalam keadaan tanpa kerakyatan mana-mana negara, sekali gus menghukum bayi dan kanak-kanak sejak lahir.

Malah, cadangan pindaan ini adalah tidak wajar dan bercanggah dengan objektif asal mengapa peruntukan berkenaan dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan latar belakang sejarah kemasukan peruntukan ini adalah penting.

Pada tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kewarganegaraan kepada sesiapa dilahirkan di dalam negara ini atas prinsip ‘jus soli’ (hak untuk kawasan).

Kemudian pada tahun 1962, beberapa pindaan dibuat untuk memasukkan syarat bahawa sekurang-kurangnya satu daripada ibu bapa adalah warganegara dalam melayakkan pemberian kewarganegaraan kepada anak.

Bagi mengelakkan risiko sesiapa dijadikan stateless (tanpa kewargengaraan) akibat syarat baru ini, maka seksyen 1 (e) diperkenalkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penggubal pindaan 1962, berpandangan jauh dan memastikan terdapat perlindungan dalam bentuk seksyen 1 (e) terbabit.

Maka keputusan tidak masuk akal untuk memansuhkan seksyen 1(e) akan mewujudkan satu golongan kelas bawahan baru, akan tinggal di sebuah negara yang enggan mengiktiraf kewujudan sah mereka dan secara sistemik menafikan mereka dari menyertai masyarakat dalam secara saksama.

Sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak, hasilnya adalah satu pembentukan secara jahat (social engineering) kelas bawahan yang baru.

Cadangan pindaan kerajaan ini tidak terhenti di sini sahaja, malah ia bertujuan memansuhkan Seksyen 19B bahagian 3 Jadual Kedua, yang akan turut menafikan hak kewarganegaraan kanak-kanak dijumpai (foundling), kanak-kanak dibuang atau anak yatim.

Jelas, pindaan ini bertujuan membatalkan keputusan penting dibuat Mahkamah Persekutuan di dalam kes CCH dan lawan Pendaftar Besar Bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia [2022] 1 MLJ 71, berkenaan hak kewarganegaraan kanak-kanak dijumpai (foundlings).

Ia juga akan membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan serta progresif untuk melindungi kanak-kanak dijumpai (foundling) dari status tanpa kerwarganegaraan.

Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan untuk mengiktiraf kewarganegaraan bayi baru lahir itu, mengikut kuat kuasa undang-undang, kecuali jika terdapat bukti sebaliknya

Pada masa sama, terdapat beberapa cadangan pindaan lain; iaitu hak mendapatkan kewarganegaraan oleh mereka yang bermastautin tetap juga dikeluarkan, sekali gus menjadikan anak kelahiran kepada mereka yang bermastatutin tetap juga menghadapi keadaan tanpa kewarganegaraan.

Sememangnya adalah satu tipu helah serta muslihat jelas apabila pindaan ini dipakej bersama dengan cadangan pindaan diketahui umum yang harus dilakukan untuk menyelesaikan kesengsaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia.

Adalah satu tindakan kaunter-produktif, apabila kerajaan ini bertujuan menyelesaikan masalah kewarganegaraan dari satu segi, tetapi pada masa sama mewujudkan golongan baru tanpa kewarganegaraan lebih besar.

Maka secara logiknya, golongan ini bukan sahaja tidak akan mengecil, tetapi akan berganda termasuk secara bergenerasi.

Kesan dahsyat akibat tanpa warganegara tidak boleh dipandang kecil kerana mereka yang tanpa kewarganegaraan dihalang dari mendapatkan akses kepada pendidikan, khidmat kesihatan, pekerjaan dan hak lain sebagai seorang warganegara Malaysia.

Mereka akan terpaksa mengambil pekerjaan dibayar rendah, berbahaya serta kerja tidak sah dan semua ini dalam keadaan di bawah ancaman ditahan atau diperas ugut, termasuk dilakukan mereka dalam kalangan pihak berkuasa. Secara ringkasnya, larangan ini kekal ke atas golongan terbabit memaksa mereka untuk terus diketepikan dan disisihkan selama-lamanya.

Apakah dosa kanak-kanak dilahirkan luar nikah sehingga mereka dinafikan masa depan? Mengapakah bayi dibuang dan anak yatim dihukum kerajaan untuk keadaan yang bukan di bawah kawalan mereka? Apakah keadilan bagi mereka yang hanya mengenali Malaysia sebagai negara mereka dan masih dinafikan kewarganegaraan?

Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan kerajaan ini adalah tindakan kejam, dilakukan atas tanggapan salah, iaitu kononnya golongan tanpa kerakyatan adalah satu isu keselamatan.

Sesungguhnya itu adalah tidak benar. Mereka adalah golongan malang yang dipinggirkan dan diabaikan melalui keretakan birokrasi di dalam pentadbiran.

Walaupun terdapat bantahan lantang terhadap pindaan ini, kerajaan masih merancang mengemukakan pindaan ini kepada Majlis Raja-Raja bagi kelulusan pada Oktober.

Sesungguhnya slogan perpaduan dan harapan kepada Malaysia yang dicanang kerajaan sempena Merdeka ini, tidak seharusnya mengabaikan golongan dinafikan kewarganegaraan.

Mereka adalah sebahagian daripada kita, rakyat Malaysia yang sama dan penyisihan mereka akan hanya merendahkan martabat kami semua.

Justeru, kami menggesa kerajaan ini untuk menggugurkan cadangan pindaan kejam terbabit dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam semangat sebenar Merdeka, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menegakkan hak kesemua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang sudah dinafikan kewarganegaraan secara administratif. Tiada siapa harus disisihkan. – 30 Ogos, 2023

Penulis adalah sekumpulan peguam senior, Datuk Ambiga Sreenevasan, Datuk Dr Hartini Zainudin, Latheefa Koya dan Maalini Ramalo

Topics

 

Popular

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

Ferrari sues Malaysian energy drink firm over alleged logo trademark infringement

Supercar manufacturer claims image of two horses used by drink company resembles its iconic horse emblem

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related