10 filem patriotik pasukan beruniform tanah air ini wajib ditonton!

Menerusi dorongan dan sokongan dana kerajaan serta kerjasama badan beruniform, beberapa filem kenegaraan telah dihasilkan

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Harus diakui bahawa Malaysia masih lagi kekurangan filem-filem bergenre kenegaraan yang mampu membangkitkan semangat nasionalisme dan jiwa patriotisme rakyat terhadap negara yang berjaya bebas dari cengkaman penjajah sejak 66 tahun lalu.

Begitupun dengan adanya dorongan dan sokongan dana daripada kerajaan serta kerjasama oleh badan beruniform negara sejak kebelakangan ini, beberapa filem kenegaraan telah mula dihasilkan syarikat produksi filem tempatan.

Namun, penghasilannya perlu diperbanyakkan lagi.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September, Scoop senaraikan filem-filem kenegaraan berkaitan dengan badan beruniform negara, cukup patriotik untuk tontonan kita.

Sarjan Hassan

Filem ini dijayakan oleh pelakon hebat seperti Tan Sri Jin Shamsuddin, Saadiah, Salleh Kamil dan Omar Rojik – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Filem arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini mula ditayangkan pada 28 Ogos 1958 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-2.

Diterbitkan Malay Film Productions Ltd, filem yang dijayakan pelakon hebat seperti Tan Sri Jin Shamsuddin, Saadiah, Salleh Kamil dan Omar Rojik ini telah menaikkan semangat golongan pemuda untuk berkhidmat sebagai tentera.

Ia mengisahkan perjuangan Sarjan Hassan bersama pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu. RAMD atau askar Melayu merupakan rejimen tertua di dalam Tentera Darat Malaysia.

Prebet Lapok

Filem Prebet Lapok ditayangkan di pawagam pada 1979 – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Mengisahkan seorang pemuda bernama Badul Lapok yang tidak mempunyai haluan hidup, tetapi akhirnya berjaya mempamerkan keberaniannya setelah menembak mati seorang pengganas komunis dan menangkap dua lagi ketika terlibat dalam operasi menentang kumpulan itu.

Filem komedi aksi ketenteraan terbitan Indra Film Sdn Bhd ini diarahkan Allahyarham Datuk Aziz Sattar serta dibintangi AR Badul, Azlina Aziz serta Raja Ismail, Ed Osmera dan Yusof Latiff. Ia ditayangkan di pawagam pada 1979.

Bukit Kepong

Filem aksi perang ini dihasilkan berdasarkan kisah benar serangan komunis di Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Diarahkan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, filem aksi perang ini dihasilkan berdasarkan kisah benar serangan komunis di Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950.

Kemuncak kepada pertempuran adalah pada 23 Februari apabila Balai Polis Bukit Kepong diserang, mengakibatkan 18 anggota polis terkorban. Mereka berjuang hingga ke titisan darah terakhir ketika diserang 180 pengganas komunis.

Filem terbitan Jin Shamsuddin Productions yang ditayangkan pada 29 April 1982 ini dibintangi sendiri Jins Shamsuddin, selain Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi, manakala penggambarannya dilakukan di Sungai Lenga di Bukit Kepong.


Darah Satria

Filem ini telah menaikkan semangat belia untuk menyertai angkatan tentera dan pasukan beruniform lain – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Sebuah filem yang mengangkat perjuangan salah satu batalion dalam Rejiman Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai Leftenan Muda Ariff dan bersama anak buahnya, mereka terlibat di dalam operasi memburu pengganas komunis di hutan belantara.

Diarahkan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, filem yang ditayangkan pada 1983 ini dijayakan barisan pelakon seperti AR Badul, Lydiawati, A.Galak, Aman Shah, M Rajoli, Baharuddin Omar, Mahmud June, Noorizan dan Tawil.

Menjalani penggambaran di kem Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kuala Lipis, Pahang, pengkalan TLDM Lumut dan hutan di Gombak, Selangor, filem ini telah menaikkan semangat belia untuk menyertai angkatan tentera dan pasukan beruniform lain.

Leftenan Adnan

Filem ini diangkat berdasarkan kisah benar perjuangan pegawai tentera Tanah Melayu, Leftenan Adnan Saidi – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Filem ini diangkat berdasarkan kisah benar perjuangan pegawai tentera Tanah Melayu, Leftenan Adnan Saidi yang telah bertarung nyawa dan terkorban sewaktu Rejimen Askar Melayu bertempur dengan tentera Jepun di Bukit Candu, Pasir Panjang di Singapura pada Perang Dunia II.

Filem arahan Aziz M Osman dengan skrip karya Aziz dan Mejar Ramli Abu Bakar adalah terbitan bersama Paradigm Films dengan Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan.

Ditayangkan di pawagam pada 31 Ogos 2000, filem yang menampilkan Hairie Othman sebagai watak utamanya ini menjalani penggambaran di Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Bravo 5

Filem ini mendapat sokongan Kementerian Pertahanan dan Tentera Darat ini menjalani pengambaraan di Melaka, Perak, Johor dan Tugu Negara, Kuala Lumpur – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Diangkat dari kisah benar, filem aksi perang Malaysia yang ditayangkan di pawagam pada 10 September 2015 ini diarahkan Yeop Hitler serta dibintangi Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sashi Tharan dan Xavier Fong.

Filem yang didedikasikan kepada pejuang negara yang terkorban ini berkisar mengenai lima komando Tentera Darat yang menjalankan operasi menghalang Parti Komunis yang merancang untuk menguasai kedudukan strategik di tengah semenanjung Malaysia pada 1989.

Filem terbitan Karya Prima Production yang mendapat sokongan Kementerian Pertahanan dan Tentera Darat ini menjalani pengambaraan di Melaka, Perak, Johor dan Tugu Negara, Kuala Lumpur.

Malay Regiment

Filem ini diilhamkan daripada peristiwa sebenar Ops Kota Gubir I & II pada 16 April 1976 dan 15 Julai 1976 – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Diilhamkan daripada peristiwa sebenar Ops Kota Gubir I & II pada 16 April 1976 dan 15 Julai 1976, pasukan keselamatan daripada Unit 17 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) telah menggempur beberapa kem pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thai berhampiran Gubir di Kedah.

Malay Regiment arahan Jurey Latiff Rosli terbitan World Evolution Brain ini ditayangkan pada 31 Ogos 2017, pada Hari Kemerdekaan ke-60. Ia dibintangi Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Kamal Adli, Nad Zainal, Ery Putra, Yus Waisar, Falisha Crossley dan Normah Damanhuri.

Paskal

Filem ini turut memaparkan kejayaan Paskal melaksanakan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada 1989 – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Sebuah lagi filem yang diadaptasi dari kisah benar, filem arahan Adrian Teh ini mengisahkan kejayaan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Laut atau Paskal dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna Sabah dan Maghribi, filem ini turut memaparkan kejayaan Paskal melaksanakan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada 1989.

Diterbitkan Asia Tropical Films, Golden Screen Cinemas, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw, filem yang ditayangkan pada 27 September 2018 ini membariskan pelakon hebat seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theeban G, Henly Hii dan Jasmine Suraya Chin.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Filem aksi ketenteraan fiksyen yang menjalani penggambaran di Kuantan, Pahang, serta sekitar ruang udara Terengganu, Shah Alam, Selangor dan Kota Belud, Sabah – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Filem arahan bersama Zulkarnain Azhar dan Frank See ini memaparkan misi sekumpulan anggota Squadron Force Protection (SFP) dan anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) dalam usaha menyelamatkan orang awam yang terkandas di Namburi selepas pesawat A400M mereka naiki ditembak oleh Militan Utara Namburi.

Filem aksi ketenteraan fiksyen yang menjalani penggambaran di Kuantan, Pahang, serta sekitar ruang udara Terengganu, Shah Alam, Selangor dan Kota Belud, Sabah ini dibintangi Aiman Hakim Ridza, Datuk Adi Putra, Nas-T, Sara Ali, Iman Corinne Adrienne, Johan As’ari, Pablo Amirul, Scha Alyahya, Esma Daniel dan Sangeeta Krishnasamy.

Ia diterbitkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media. Ditayangkan pada 25 Ogos 2022.

Coast Guard Malaysia: Ops Helang

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang ditayangkan pada 2 Februari lalu dibintangi Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana Marin dan Hazama Ami – Gambar internet, 27 Ogos, 2023

Merupakan filem pertama dan terakhir arahan Allahyarham Pitt Hanif, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang ditayangkan pada 2 Februari lalu dibintangi Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana Marin dan Hazama Ami.

Ia mengisahkan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terpaksa berdepan dengan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan.

Filem terbitan Arie Zaharie Production, Flying Deals, Metrowealth Pictures dan Primeworks Studios yang mendapat kerjasama Maritim Malaysia ini menjalani penggambaran di Langkawi di Kedah, Kuantan dan Jerantut di Pahang, Perlis dan Melaka. – 28 Ogos, 2023


Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related