KUALA LUMPUR – Barangkali kita lebih mengenali Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Dr Sam, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Alif Satar, Aina Abdul dan Khai Bahar dengan lagu-lagu patriotik.
Namun, hakikatnya, Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 58, adalah satu-satunya penyanyi rakaman Malaysia yang paling banyak sekali membawakan lagu-lagu bergenre patriotik ala march yang tipikal.
Dengan vokal tenor, suara bass yang tebal, pitch yang tinggi, penyampaian kata yang jelas serta penghayatan baik, kelebihan yang ada pada Roy membuatkan dia sentiasa menjadi pilihan untuk membawakan lagu-lagu patriotik terutama lagu tema hari kebangsaan.
Bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-66 dan sambutan Hari Malaysia ke-60, Scoop senaraikan enam lagu tema Hari Kebangsaan nyanyian Roy yang mampu menaikkan semangat cintakan tanah air.
Malaysia Berjaya
Lagu patriotik yang digubah sepenuhnya oleh Saiful Bahri yang juga pencipta lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku ini pada asalnya dinyanyikan oleh Jamaludin Elias sempena Minggu Perpaduan Kebangsaan Pertama pada tahun 1964.
Tapi, kemudian ia digunapakai sebagai lagu tema Hari Kebangsaan Ke-33 pada 1990 dan penyanyinya tidak lain tidak bukan adalah Roy.
Wawasan 2020
Sebuah lagu patriotik yang cukup ikonik. Roy telah dipertanggungjawab untuk menyanyikan lagu ciptaan Akbar Nawab Khan terbitan RTM ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-34 dan Ke-35 pada tahun 1991 dan 1992.
Terbitnya lagu ini susulan daripada wawasan kerajaan yang ketika itu berada di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Jaya Diri
Tidak dapat dipastikan siapa pencipta lagu patriotik Jaya Diri ini.
Namun, lagu yang dinyanyikan Roy pada 1999 ini cuba mencetuskan semangat baharu buat Malaysia untuk membasmi kemiskinan demi kebahagian negara dan rakyat pula harus menjaga kesihatan, bekerja kuat untuk meningkatkan taraf hidup serta berjasa kepada negara.
Lagu ini juga pernah dibawakan oleh Jamaluddin Alias, seorang lagi penyanyi patriotik negara yang sangat bagus.
Malaysiaku Gemilang
Siapa yang tidak ingat dengan lagu ini? Sekali lagi Roy telah diberikan tugasan untuk menyumbangkan suaranya untuk lagu tema Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 pada 2007.
Melodi lagu ini adalah ciptaan Nik Nizam Nik Jaafar, manakala liriknya adalah nukilan bekas Menteri, Tan Sri Rais Yatim bersama Khairul Anuar Harun yang juga penulis lirik lagu Cindai.
Perpaduan Teras Kejayaan
Tidak diketahui siapa penciptanya, namun lagu ini jelas menyatakan bahawa perpaduan sememangnya teras yang penting terhadap kemajuan sesebuah bangsa dan negara.
Menjadi lagu tema Hari Kemerdekaan Malaysia ke-51 pada 2008, Roy terus membuktikan dia adalah seorang penyanyi lagu patriotik yang unggul.
1 Malaysia
Lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 pada 2009 ini juga turut menyaksikan pemilihan Roy buat tiga tahun berturut-turut sebagai penyanyi utamanya.
Melodi 1 Malaysia digubah oleh Nik Nizam dan Errie Naham, manakala liriknya ditulis oleh Lokman Ghani atau Lokgha.
Mesej di sebalik lagu ini sangat jelas bahawa pembinaan semangat 1 Malaysia sangat penting bagi memastikan perpaduan berbilang kaum terus dapat dipelihara di negara ini.
Roy juga pernah diberi kepercayaan membawakan lagu patriotik Bersatu Selamanya untuk Sukan Komanwel ketika Malaysia menjadi tuan tumah temasya berkenaan pada 1998.
Lagu patriotik lain yang pernah dinyanyikannya adalah Negaraku Yang Tercinta, Forever As One, Tunjukkan Kemampuan Kita, Nyalakan Tekad serta Jaya Diri. – 27 Ogos, 2023