KUALA LUMPUR – Naib Ketua PKR Cabang Batu, Rozan Azen Mat Rasip akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis, Amir Hamzah Akal selepas mendakwa beliau difitnah individu terbabit berhubung isu rampasan bukunya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau menegaskan, laporan polis juga telah dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi terhadap Amir atau lebih dikenali Benz Ali kerana mengeluarkan dan menyebarkan beberapa kenyataan memfitnah dirinya di media sosial.
Menurutnya, Amir secara terbuka melemparkan pelbagai caci maki, kata kesat, ugutan, serta hasutan, selain fitnah yang dilihat sudah melampaui batas dan tindakan undang-undang perlu diambil dalam memberi pengajaran kepada orang ramai.
“Saya membuat laporan polis sebab sudah keterlaluan. Ia perlu dihentikan kerana sebarang tindakan KDN atau Menteri Dalam Negeri serta apa-apa terjadi kepadanya, beliau akan mengaitkan saya. Peluang telah diberikan kepadanya untuk menarik segala tuduhan dan permohonan maaf secara terbuka secara 24 jam pada 19 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, tiada tindakan dilakukan. Sehubungan itu, selepas pihak polis membuka kertas siasatan, saya akan ambil tindakan undang-undang di mahkamah. Saya juga akan membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan sewajarnya diambil,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, hari ini.
Mengulas lanjut, Rozan berpandangan tuduhan palsu dilemparkan penulis terbabit seolah-olah disengajakan bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap dirinya dan Kerajaan Perpaduan.
“Saya tahu sebagai usahawan buku, beliau kecewa (rampasan dua buku oleh KDN). Namun menjadikan saya ‘punching bag’ kononnya segala tindakan adalah salah atau kelemahan di sisi mata beliau oleh kerajaan hari ini, itu tidak adil dan melampaui batas.
“Saya mohon pihak polis membuat siasatan terhadap aduan saya ini berdasarkan Seksyen 502 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana dia berniat jahat memburukkan maruah saya,” katanya.
Dalam pada itu, Rozan mengakui tidak terkejut dengan tindakan KDN merampas buku berjudul Marx Sang Pendidik Revolusioner susulan ia pernah dirampas pada 2015.
“Buku puisi yang ditulis Amir pula saya beranggapan tajuknya mengundang kontroversi, susulan ia tidak sesuai kerana berunsur pornografi atau imej lucah untuk masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Amir kecewa apabila KDN pada 18 Ogos lalu menyerbu kedainya di Wisma Central, Kuala Lumpur dan merampas dua buku tersebut.
Jelasnya, buku tersebut tidak seharusnya dirampas susulan tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual. – 21 Ogos, 2023