JAKARTA – Gabenor Bali, Wayan Koster menggesa pelajar di Bali mengutamakan menonton filem dan kartun tempatan, berbanding rancangan Malaysia, Upin Ipin, seperti dilaporkan media.
“Orang muda biasanya suka menonton, animasi apa yang datang dari Malaysia kan? Ya, Upin Ipin. Jangan kita tonton lagi… Lebih baik sokong filem yang memfokuskan kepada tradisi dan budaya kita,” katanya.
Beliau menyatakannya dalam ucapan pada majlis anugerah pertandingan esei filem di dewan Dewan Perundangan Wilayah Bali, baru-baru ini.
Upin Ipin adalah siri animasi dengan unsur pendidikan dan budaya yang meraih populariti di Malaysia dan negara Asia Tenggara.
Wayan juga menekankan bahawa penting untuk memelihara budaya Bali walaupun dalam kemajuan teknologi dan pemodenan. Bali mempunyai penduduk yang pelbagai dan identiti budayanya berkait rapat dengan kepercayaan Hindu-Bali. – BERNAMA, 19 Ogos 2023