Perakam suara kokpit dihantar untuk analisis, keputusan siasatan akan diumum secara telus: Loke

BSKU telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci sebelum hasil siasatan diumumkan  secepat mungkin

1:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Alat perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR) yang ditemui daripada pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam telah dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) awal pagi tadi untuk dianalisis.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata BSKU yang merupakan biro di bawah kementerian itu, telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci sebelum hasil siasatan diumumkan  secepat mungkin.

“Segala hasil siasatan akan diumum secara telus…kita tidak akan sembunyi apa-apa fakta, segala fakta diperoleh nanti akan diumum pada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Dan Pembiayaan antara Yinson, RRJ dan Farosson di sini hari ini.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang  terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu maut.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi mangsa masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.

Loke berkata pihaknya sedar analisis berkenaan perlu dibuat segera kerana ia melibatkan kepentingan ramai dan menarik perhatian banyak pihak, malah beliau sendiri ingin tahu punca nahas tersebut secepat mungkin.

Berhubung identiti dua mangsa orang awam yang terlibat dalam nahas itu, Loke berkata kementerian menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti individu berkenaan. 

“Setakat bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam, kami telah melakukan apa yang sepatutnya iaitu mendedahkan kepada umum manifest penerbangan, siapa penumpang terbabit, tetapi identiti semua mangsa bidang kuasa polis,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung  nahas pesawat berkenaan, dan memohon ruang privasi diberikan kepada ahli keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi itu.

Katanya ketika ini, pihak berkuasa seperti polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) seharusnya diberi ruang untuk menjalankan siasatan mereka secara terperinci dan menyeluruh.

Dalam nahas semalam itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara yang berada dalam senarai penumpang pesawat berkenaan. 

Turut tersenarai adalah dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima  penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali. – 18 Ogoss, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related