KUALA LUMPUR — Identiti penunggang motorsikal yang maut dalam kemalangan pesawat ringan yang terkempas di Elmina, Shah Alam petang semalam, dikenali sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh.
Allahyarham berasal dari Sidam, Kedah.
Sepupu arwah yang dikenali sebagai Nurul Nazihah memuatnaik perkara berkenaan di dalam Facebooknya dan meluahkan rasa terkejut kerana rider yang terlibat dalam kemalangan tersebut merupakan sepupunya sendiri.
“Allahuakhbar.. patut la dok sedih sangat-sangat, simpati dengan rider yang terbakar excident dengan pesawat dekat Elmina petang ni (semalam).
“Rupanya Adik sepupu sendiri weyh.. Allah Allah.. awat laa kena dekat orang yang ku kenal ni. Ku tak kuat nak hadap benda ni. Polis baru dapat detect Apit mangsa yang terlibat,’’ katanya.
Seramai 10 orang maut dalam kejadian pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, petang semalam.
Selain Allahyarham Hafiz, mangsa-mangsa lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Datuk Seri Johari Harun, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib.
Seorang lagi identiti pemandu kereta yang terlibat masih belum disahkan.
Dalam pada itu, Nurul juga memaklumkan sehingga saat ini dia tidak mampu menghubungi ibu dan bapa arwah yang kini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Saya minta maaf kepada Press yang call dan whatsapp, ramai sangat-sangat contact saya, saya tak tahu 100 peratus kejadian.
“Sampai saat ni saya tak mampu nak call Maklang dan Pak Lang. Eemosi kami semua tak stable apatah lagi mak ayah dan adik beradik dia sendiri.
“Kami nak sembang antara kami pun susah, semua tengah berhiba dan berduka atas kejadian yg menimpa arwah Apit (mangsa),’’ demikian tulisnya dalam Facebook
Nurul turut meminta supaya keluarga mereka diberikan ruang dan peluang untuk mereka bertenang.
Dalam pada itu, Foodpanda Riders merakamkan ucapan takziah kepada Allahyarham Hafiz yang merupakan penunggang Foodpanda di atas kemalangan yang menimpanya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa rider kita Allahyarham Muhamad Hafiz Bin Muhamad Salleh telah terlibat dalam tragedi kapal terbang terhempas di Elmina semalam. Salam takziah dari kami foodpanda kepada keluarga Allahyarham,” demikian tulis Foodpanda Rider menerusi akaun Facebook. – 18 Ogos, 2023