KUALA LUMPUR — Pemuda Umno akan mengadakan post mortem bagi mendapatkan pandangan akar umbi mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, yang menyaksikan parti itu mengalami kekalahan teruk, menerusi Perhimpunan Khas Pemuda UMNO yang akan diadakan malam ini.
Setiausaha Pemuda Umno, Mohd Hafiz Ariffin berkata, perhimpunan itu akan diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Kuala Lumpur pada jam 8 malam ini.
“Sayap parti ini akan mengadakan Program Post Mortem PR6N Pemuda Umno bagi mencari ‘di mana salah kita’ di IYC Kuala Lumpur.
“Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Salleh dan naib ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Md Shah akan memberikan ucapan,’’ katanya menerusi surat jemputan kepada media, hari ini.
Difahamkan program berkenaan adalah tertutup, hanya ucapan pemimpin dan sidang media sahaja dibenarkan untuk liputan media.
Sebelum ini, Akmal dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan bagi merungkai permasalahan ‘senyap’ yang masih berlaku dalam Umno sehingga menyebabkan parti mewakili Barisan Nasional (BN) itu kalah teruk dalam PRN di enam negeri, 12 Ogos lalu.
Menurut Akmal, pihaknya menerima banyak maklum positif daripada ahli serta akar umbi sayap parti terbabit yang menyatakan minat untuk hadir pada program berkenaan dan memandangkan memandangkan kapasiti dewan yang terhad, bagi fasa pertama itu pihaknya hanya mengundang pemimpin pemuda yang terpilih ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno, Jun lalu atau lebih dikenali sebagai ‘G5’.
Selain itu, Umno juga berdepan dengan desakan supaya presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) meletakkan jawatan.
Pada PRN lalu, BN hanya menang dua kerusi di Selangor, iaitu DUN Sungai Air Tawar dan Dusun Tua, satu kerusi di Kelantan (Galas) dan dua keris di Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).
Di Terengganu, semua calonnya tewas, termasuk dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Namun, BN Negeri Sembilan mencatat keputusan baik apabila menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH). – 17 Ogos, 2023