KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya menerima permohonan notis merah bagi mengesan menantu mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam secara lisan.
Beliau berkata, bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyenaraikan nama Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan seorang peguam, Mansoor Saat, 69, di dalam notis merah tersebut.
“Insya-Allah notis merah akan disampaikan kepada kita nanti. Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan SPRM.
“Sekiranya ada maklumat kita akan maklum kepada mereka untuk tindakan. Setakat ini notis merah hanya secara verbal (lisan),” katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengumumkan untuk memohon notis merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) terhadap Muhammad Adlan dan Mansoor yang dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Katanya, ketika ini SPRM juga akan minta kerjasama PDRM dan Jabatan Imigresen (Imigresen) untuk membekukan pasport dua individu berkenaan.
Muhammad Adlan dan Mansoor, disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Semakan rekod oleh SPRM mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.
Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.
Malah, media melaporkan kediaman Mansoor yang diburu SPRM didiami penghuni yang bukan berbangsa Melayu atau beragama Islam.
Seorang individu yang keluar daripada kediaman berkenaan menyatakan penghuninya tinggal hampir 10 tahun lalu dan bukan keluarga berbangsa Melayu. – 15 Ogos, 2023