KUALA LUMPUR – Umno dijangka mempunyai peluang cerah untuk memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berada di dalam penjara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil berkata, seandainya Najib atau lebih popular dengan panggilan ‘Bossku’ ada bersama membantu kempen, nasib berbeza iaitu lebih baik akan menyebelahi parti berkenaan.
“Saya sudah beberapa kali berkata bahawa jika Datuk Seri Najib ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang lebih cerah, namun beliau masih di dalam penjara sudah setahun kini dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuknya.
“Datuk Seri Najib kerap kata kepada saya, beliau bukan mahu kesnya digugurkan, beliau hanya mahu mendapat perbicaraan yang adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Isham berkata, sehingga kini, bekas Presiden Umno itu tidak mendapat perbicaraan adil kerana hakim yang mengadili dan mensabitkan kesalahan kepadanya adalah berat sebelah.
Malah, ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes berkenaan.
Isham berkata, beliau sudah mencadangkan supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk Najib, sementara menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.
“Saya sudah jelajah ke hampir seluruh enam negeri untuk berkempen dan berdialog dengan akar umbi.
“Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya mengenai tiga perkara, iaitu pertama berkenaan DAP, kedua Presiden dan ketiga Datuk Seri Najib. Perkara ini adalah isu utama di peringkat akar umbi,” katanya.
Keputusan PRN di enam negeri semalam, menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon Umno hanya menang dua daripada 12 kerusi ditandingi di Selangor, iaitu Datuk Rizam Ismail di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dan Datuk Johan Abd Aziz (Dusun Tua). – 13 Ogos, 2023