Saya tidak berniat pamer kertas undi – Muhammad Sanusi

Kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya

12:24 AM MYT

 

SIK – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya kepada pihak media ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri hari ini.

Sebaliknya beliau berkata kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.

“Bukan saya berniat mempamerkan kertas itu. Tapi bila kita pusing sini pusing sana (untuk mengambil gambar) kertas itu terbuka. 

“Tak terniat saya untuk pamer. Tapi bila kelam-kabut melayani permintaan rakan-rakan wartawan, dia jadi macam itu,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Dewan Muhammad Abduh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik di sini.

Petang tadi, tular gambar Muhammad Sanusi dengan kertas undi yang memaparkan pilihan beliau sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.

Seksyen 39 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyebut tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.

Akta tersebut selanjutnya menyebut kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Jeneri, Muhammad Sanusi berkata ini menggambarkan  pengundi  menolak kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, beliau diumum sebagai pemenang di kerusi itu dengan majoriti 16,050 undi selepas memperoleh sebanyak 21,823 undi menewaskan calon BN Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat 5,773 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 2,455 menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Jassan (PH). – 13 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

[UPDATED] Swatch scandal: Home Ministry must return Pride collection watches in 14 days

High court rules in favour of company but did not make any orders for damages, costs

Related