Peratusan keluar mengundi: Penganalisis, ketua parti berbeza pendapat

Menurut pakar, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini juga, akan menunjukan trend menurun, kerana pengundi menganggapnya tidak penting

8:12 PM MYT

 

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selalunya menyasarkan 70 peratus akan keluar mengundi bagi menentukan pembentukan kerajaan, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018, trend yang ada telah menunjukkan penurunan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Prof Dr P. Sivamurugan berpendapat, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini juga, akan menunjukan trend yang sama, kerana pengundi menganggapnya tidak penting susulan kerajaan sudah dibentuk di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata di Pulau Pinang, trend peratusan keluar mengundi juga dijangkakan menurun susulan kempen-kempen parti politik selama hampir dua minggu, kelihatan suram dan tidak mendapat sambutan seperti PRU-15.

“Kempen (parti politik) lebih tertumpu di dalam talian dengan menggunakan media sosial, ceramah dilihat hambar dan perayu undi bergiat aktif pada saat terakhir, untuk melakukan pecutan dalam kalangan pengundi,” katanya kepada Bernama.

Kempen-kempen parti politik selama hampir dua minggu, kelihatan suram dan tidak mendapat sambutan seperti PRU-15 – Gambar Scoop, 10 Ogos, 2023

Sivamurugan berkata beliau percaya ada dalam kalangan pengundi luar, yang merasakan tidak perlu balik dan ada pula pengundi yang akan melakukan bantahan undi, untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap arena politik tanah air.

Trend yang ditonjolkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 67 peratus, PRN Melaka (65 peratus), PRN Sarawak (61 peratus) dan PRN Johor pada 55 peratus, turut dikaitkan dengan penularan wabak COVID-19 yang bermula pada Mac 2020.

Penurunan peratusan keluar mengundi juga dilihat ketika PRU-15, iaitu sebanyak 73 peratus berbandingkan pada PRU-14 pada 2018 dengan 83 peratus.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau optimis, peratusan keluar mengundi PRN kali ini mencapai lebih 70 peratus, kerana dalam setiap siri kempen dan ceramah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), calon sentiasa mengingatkan dan menyeru pengundi mereka agar turun mengundi pada Sabtu ini.

“Kami dalam setiap lawatan, ceramah dan kenyataan, memang tegaskan serta seru pengundi turun beramai-ramai untuk memilih kerajaan dan calon,” katanya.

Chow berkata setiap calon dalam gabungan itu mempunyai kaedah tersendiri ketika berkempen, termasuk melibatkan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan semasa, turun padang bertemu pengundi.

Pendapat sama dilontarkan Pengerusi Perikatan Nasional Pulau Pinang Datuk Dr Dominic Lau, apabila calon Perikatan Nasional (PN) menggunakan kaedah seperti bertemu pengundi bagi mengenali calon, turut menyeru untuk keluar mengundi dan mengetahui hak mereka sebagai rakyat.

Parti-parti yang bertanding menggunakan kaedah seperti bertemu pengundi bagi mengenali calon, turut menyeru untuk keluar mengundi dan mengetahui hak mereka sebagai rakyat – Gambar Scoop, 10 Ogos, 2023

“Oleh itu, saya nampak calon PN selain daripada tinjauan mesra, turun padang, kami juga menggunakan media sosial seperti TikTok dan Facebook, untuk menyalurkan mesej kepada pengundi dan saya menyeru semua pemilih pada 12 Ogos harus keluar mengundi,” katanya.

Beliau yang juga presiden Gerakan serta calon DUN Bayan Lepas itu berkata selain tanggungjawab sebagai rakyat, keluar mengundi juga sebagai penentu wakil rakyat yang akan berkhidmat di kawasan mereka, bagi tempoh lima tahun.

Selasa lepas Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata peratusan keluar mengundi bagi PRN ini disasarkan sebanyak 70 peratus, dan berkemungkinan angka itu lebih rendah.

Sebanyak 570 calon bertanding merebut 245 kerusi DUN pada pilihan raya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala satu lawan satu di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata seramai 168 calon yang bertanding dalam PRN itu dari Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) seramai 137 calon, Barisan Nasional (BN) seramai 108 calon, 77 calon bertanding mewakili PAS. – 10 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related