KUALA LUMPUR – Memberi keutamaan kepada golongan warga emas dan wanita antara dua teras yang ingin dititikberatkan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Menurut Altimet, dia juga mahu menjadikan Lembah Jaya sebagai kawasan yang sesuai dan selamat untuk didiami semua lapisan masyarakat.
“Selain belia, warga emas dan wanita juga harus diberikan perhatian yang khusus. Kita kadang-kadang mungkin kurang fokus kepada dua kategori ini.
“Jadi saya mahu fokus kepada semua kategori itu kerana kita nak jadikan Lembah Jaya ini sebagai tempat sesuai didiami dan disukai semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia,” katanya kepada Scoop.
Kongsi pelantun lagu Amboi ini lagi, dia juga mahu membantu masyarakat di sini untuk meningkatkan kemahiran mereka sebagai pekerja yang lebih baik.
“Kita akan sediakan latihan bagi mereka yang mahu memperbaiki diri untuk menjadi seorang pekerja ataupun peniaga yang lebih hebat.
“Selain itu, kita juga mempunyai inisiatif untuk menambahbaik kerja penyelenggaraan kemudahan infrastruktur di kawasan ini,” katanya.
Jelasnya, beliau juga berharap agar Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menaiktaraf sekolah di kawasan tersebut.
“Di kawasan Ampang ini ada 18 sekolah manakala 12 sekolah lagi di kawasan Lembah Jaya. Ketika ini saya sedang berbincang dengan KPM untuk menaiktaraf sekolah di sini.
“Kita juga ada beberapa isu terutamanya membabitkan masalah tandas sekolah pelajar perempuan yang agak sensitif sedikit,” katanya.
Ditanya apakah isu yang paling banyak diadukan kepadanya sepanjang lebih seminggu berkempen di Lembah Jaya, Altimet berkata, penduduk kerap merungut mengenai masalah melibatkan kemudahan infrastruktur.
“Ramai mengadu tentang masalah pengangkutan awam dan infrastruktur jalan raya. Jalan raya di sini sesak terutamanya ketika orang keluar dan pulang dari kerja.
“Kesesakan ini menjadi sedikit teruk kerana terdapat projek pembinaan lebuh raya yang belum siap. Kita akan cuba menangani masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Altimet berkata, beberapa penduduk turut mengadu mengenai masalah tekanan air rendah di kediaman mereka.
“Bukan masalah bekalan air putus tetapi kadang-kadang tekanan air rendah. Saya dan badan pengurusan bersama sebuah flat akan bekerjasama dengan Air Selangor untuk menangani isu ini,” katanya.
Pertandingan bagi merebut kerusi di DUN Lembah Jaya menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Altimet dan calon dari Perikatan Nasional, Sharifah Haslizah Syed Ariffin. – 8 Ogos, 2023