KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan wujud calon ‘kartel’ tertentu mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, seperti didakwa bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’ aman.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, setiap calon yang dipertaruhkan sudah melalui proses saringan yang ketat oleh Jawatankuasa Pemilihan atau Saringan Calon.
“Apabila kita mempertaruhkan calon kita dalam PRN, bukan calon itu saja yang bertanding, yang bertanding sebenarnya parti… Bersatu bersama dengan komponen melalui Perikatan Nasional (PN).
“Jadi semua pendukung ahli parti itu adalah calon kerana yang bertanding itu sebenarnya parti. Calon itu hanya wajah mewakili parti kita.
“Jadi bila kita berkuasa juga, kita harus memberi perkhidmatan dalam kapasiti kita sebagai ahli parti bukan sekadar wakil yang terpilih semata-mata. Kalau kita dapat faham perkara ini, barulah kuat roh perjuangan kita,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Scoop.
Awal hari ini, Dr Muhammad Faiz mendakwa pemilihan calon Bersatu di Selangor berat sebelah kepada pihak ‘kartel’ tertentu, sehingga mencetuskan pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian parti itu di negeri berkenaan.
Menurut beliau, pemberontakan itu dapat dilihat menerusi beberapa insiden membakar bendera PN secara terbuka, sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan atau Saringan Calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon PRN.
Malah dakwanya, protes itu tercetus apabila jawatankuasa terbabit turut mengabaikan sentimen penerimaan pihak bahagian dan jentera di lapangan.
Mengenai peletakan jawatan Faiz sebagai Ahli MPT Bersatu, termasuk berhenti menjadi ahli parti itu berkuatkuasa serta-merta, Peja berkata, beliau hairan dengan keputusan tersebut.
Peja menjelaskan, Faiz tidak menyuarakan apa-apa permasalahan tentang dirinya mahupun parti semasa mesyuarat MPT sebelum ini.
“(Keputusan itu) Satu perkara yang mengejutkan namun saya berpandangan sewajarnya dia berbincang permasalahan yang ada kerana tak sampai seminggu dua daripada tarikh dia letak jawatan itu kita adakan mesyuarat MPT, dia tak bersuara langsung.
“Tidak menyuarakan apa-apa permasalahan tentang diri dia ataupun tentang parti. Dalam kenyataan dia, saya baca dia mengkritik kepimpinan parti. Dikatakan mesyuarat MPT sekadar ‘rubberstamp’, mengiyakan segala keputusan dibuat dalam biro politik.
“Tapi pada pandangan saya, sepanjang saya dalam Bersatu tak pernahlah pengerusi atau presiden yang mempengerusikan mesyuarat menahan ahli daripada nak menyuarakan pandangan,” katanya.
Pada masa sama, mantan Ahli Parlimen Tambun itu berkata, tindakan tersebut menunjukkan wajah sebenar Faiz.
“Saya fikir kalau seseorang itu nak menjadi pendukung parti dan kemudian bersama dalam kepimpinan parti mengharapkan dirinya diperkasakan dalam apa jua cara, mungkin mendapat kuasa atau imbuhan projek dan sebagainya, memang tak layaklah berada dalam kepimpinan Bersatu.
“Ini kerana itu bukan tonggak perjuangan kita. Jadi di situ jelas menunjukkan wajah sebenar Dr Muhammad Faiz,” katanya.
Bagaimanapun Peja akur dengan keputusan Faiz dan mendoakan yang terbaik untuk karier politiknya.
“I wish him well. (Saya doakan yang terbaik untuk dia.) Cuma saya harap janganlah kerana ada apa-apa perkara yang tak berapa selesa dia nak berhenti daripada parti tetapi nak mengkritik parti.
“You want to move on (Kamu nak keluar parti) silakan. Kita tetap terus bersahabat tanpa perlulah nak kritik parti dan sebagainya,” katanya. – 7 Ogos, 2023