Peniaga alami kerugian selepas tragedi Batang Kali, harap jalan segera dibuka

Sejak penutupan Jalan Batang Kali ke Genting Highlands, Batang Kali sudah tidak semeriah dulu

8:13 PM MYT

 

BATANG KALI – Penutupan Jalan Batang Kali ke Genting Highlands selama setahun susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, mengundang keresahan pelbagai pihak terutama peniaga di Batang Kali.

Manakan tidaknya, Batang Kali, sebuah mukim yang terletak di Hulu Selangor, disifatkan penduduk sebagai ‘bandar Rehat dan Rawat (RnR)’ untuk orang ramai singgah menjamu selera atau menginap sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur atau utara termasuk ke Genting Highlands.

Peniaga buah-buahan, Shafie Tak Ariffin, 70, berkata, bandar itu sebelum ini meriah kerana ia menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara yang keluar menerusi Tol Tanjung Malim, seterusnya melalui Genting Highlands untuk ke pantai timur atau sebaliknya.

Shafie Tak Ariffin, 70, berkata, Batang Kali sebelum ini meriah kerana ia menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara – Gambar Scoop, 5 Ogos, 2023

Bagaimanapun, katanya, penutupan jalan itu menyaksikan jumlah pengunjung ke Batang Kali semakin berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan peniaga, khususnya industri kecil sederhana (IKS).

“Kami peniaga sangat terjejas. Sebelum ini kawasan di sini amat meriah, dipenuhi pengunjung dan pelancong, terutama di hujung minggu dan cuti sekolah. Namun apabila jalan itu ditutup untuk orang awam selama setahun, semua hasil perniagaan menurun.

“Kalau tutup sampai setahun itu terlalu lama, sepatutnya dah boleh buka dah. Tapi kami kecewa sehingga sekarang masih tidak boleh dilalui oleh orang awam. Ia menjejaskan peniaga. Macam saya, rugi beratus setiap bulan sejak penutupan jalan ke Genting Highlands,” katanya kepada Scoop.

Sementara itu, peniaga char kuetiau, Muhammad Irwan Hairul Nizam, 23, turut mengakui perniagaannya terjejas teruk akibat penutupan jalan tersebut.

Muhammad Irwan Hairul Nizam, 23, sudah tiga bulan saya tiada untung berniaga char kuetiau – Gambar Scoop, 5 Ogos, 2023

“Sudah tiga bulan saya tiada untung berniaga char kuetiau. Kali terakhir ketika Ramadan lepas, saya rugi sehingga terpaksa mencari perniagaan sampingan dengan menjual cendol dan air jambu.

“Saya berharap kerajaan cari satu solusi sebab kami peniaga pun perlu fikirkan juga pelbagai kos untuk dibayar seperti gaji pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga durian, Muhammad Iszuwan Buyong, 19, berkata, kekurangan pengunjung menyebabkan dia sering bertukar kawasan berniaga di Batang kali demi meneruskan kelangsungan hidup.

Muhammad Iszuwan Buyong, 19, berkata, kekurangan pengunjung menyebabkan dia sering bertukar kawasan berniaga di Batang kali – Gambar Scoop, 5 Ogos, 2023

“Sebelum ini kawasan saya berniaga meriah dengan pengunjung khususnya pelancong China kerana bas yang membawa mereka wajib turun ke Batang Kali. Jadi ia membantu menjana ekonomi penduduk setempat.

“Namun, sejak jalan ditutup, memang susah nak ada pelanggan. Saya harap kerajaan akan berusaha menyelesaikan masalah ini dengan segera. Kalau boleh, buka jalan secepat mungkin,” katanya. – 5 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Related