KUALA LUMPUR – Penumpang menaiki penerbangan dari Malaysia yang ditahan selepas menyeludup masuk puluhan ekor ular sawa ke India baru-baru ini sudah mendaftarkan bagasinya (check-in baggage) sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Jurucakap JKDM memaklumkan, bagaimanapun pemeriksaan jabatan itu di bahagian pelepasan penumpang terhad kepada ‘hand carry baggage’ sahaja.
“Bagasi berstatus ‘check-in baggage’ perlu didaftarkan di kaunter check in sebelum penumpang melalui kawasan pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan JKDM di pintu pelepasan.
“Apabila penumpang melalui kawasan pemeriksaan JKDM hanya bagasi atau beg yang diikrar sebagai ‘handcarry baggage’ sahaja yang akan diperiksa menggunakan mesin pengimbas bagasi oleh jabatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, JKDM berkata, jabatan itu tidak dapat memberi maklum balas bagi bagasi dibawa penumpang berkenaan yang berstatus “check-in baggage”.
Namun katanya, jabatan itu sentiasa komited bekerjasama dengan agensi lain dalam mengawasi pintu masuk negara demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Terdahulu media melaporkan sebanyak 47 ekor ular sawa dan dua biawak dirampas pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirapally, India yang dibawa seorang penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur. Penumpang itu dikenali sebagai Muhammad Moideen, berasal dari Chennai menaiki pesawat komersial Batik Air pada 29 Julai lalu. – 4 Ogos, 2023