KUALA LUMPUR – PAS tidak merestui insiden seorang pemimpin parti itu didakwa bertindak menghalau dan tidak mengalu-alukan kehadiran Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai di sebuah majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi pihak kepimpinan di peringkat pusat parti itu, beliau percaya kehadiran pemimpin terbabit perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak serta prinsip Islam.
Katanya, Gerakan juga adalah rakan gabungan PN dan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kini berlangsung, sewajarnya Dominic diberikan penghormatan secara layak serta munasabah.
“PAS merakamkan rasa kurang selesa, sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor yang turut dihadiri Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang),” katanya menerusi kenyataan.
Takiyuddin berkata, seperti mana parti lain, PAS juga amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutama dalam isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.
“Dalam konteks pemilihan Dominic sebagai calon PN bagi DUN Bayan Lepas yang menjadi kerusi majoriti Melayu, PAS amat sedar berhubung sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau.
“Namun PAS juga percaya, apabila keputusan mengenainya dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka.
“Mereka (ahli dan penyokong) harus meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai Hadi sendiri,” katanya.
Selain itu, beliau menyeru ahli PAS yang berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk berlawanan dengan kepentingan parti, bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam PN, malah mencabar serta mempersoalkan kebijaksanaan dan ketepatan keputusan Hadi.
“Dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, PAS percaya parti berkenaan bertanggungjawab untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, selain bertanggungjawab memberi pertolongan serta perlindungan kepada pihak memerlukan.
“PAS melihat Dominic dan parti pimpinannya tergolong dalam kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan. PAS juga berharap dan menggesa semua ahli serta penyokong parti ini dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN yang sedang kita hadapi,” katanya. Terdahulu, media melaporkan Dominic yang hadir ke ceramah itu diminta seorang pemimpin PAS supaya meninggalkan majlis kerana tidak diundang, sehingga insiden terbabit tular. – 4 Ogos, 2023