Jangan jadikan isu ‘Dominic dihalau’ punca PN bercakaran, berpecah – Mursyidul Am PAS

Beliau meminta setiap parti komponen PN bersama-sama menyokong calon ditentukan pucuk pimpinan

10:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menyeru agar insiden Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai diminta meninggalkan majlis ceramah di Pulau Pinang, tidak dijadikan isu sehingga menyebabkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) saling bercakaran dan berbalah.

Beliau berkata, seharusnya perkara terbabit dijadikan ikhtibar oleh PN agar setiap permasalahan yang wujud, mampu diselesaikan dengan harmoni tanpa mengguris hati mana-mana pihak, sehingga mengakibatkan perpecahan.

“Saya tidak tahu cerita namun kemungkinan ada kesilapan hingga pelbagai perkara boleh berlaku, sama ada ia menggembirakan kita atau sebaliknya. Sehubungan itu, terpulang kepada pimpinan utama di kawasan berkenaan serta pemimpin pusat untuk mengatasinya.

“Rasa tak puas hati itu sentiasa ada cuma, kita kurangkanlah perselisihan faham di saat yang perlu kita bersatu. Mesti ada tolak ansur, barulah perjalanan kita itu ada kesempurnaan,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Hashim berkata, parti komponen PN perlu bekerja sebagai satu pasukan dan umpama ‘keluarga besar’, bagi memastikan kemenangan memihak kepada gabungan berkenaan.

Setiap parti komponen, jelasnya, harus bersama-sama menyokong calon ditentukan pucuk pimpinan PN bagi memastikan enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos depan menjadi milik gabungan berkenaan.

“Ia ibarat zaman perang, kita sedang meraih sokongan dari pengundi, sudah tentu pelbagai perkara atau isu boleh berlaku. Jadi, kesedihan masing-masing itu adalah penting untuk kita menghadapinya agar parti komponen PN, boleh menyelesaikan segala masalah ketika berkempen yang hanya tinggal berbaki sedikit hari lagi.

“(Namun), apa kita harapkan adalah kematangan pengundi itu untuk memilih yang terbaik di antara parti politik yang ada sekarang. Kita yakin PN adalah terbaik di antara semua parti yang ada,” katanya.

Dominic dilaporkan hadir ke Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua malam tadi, namun beliau diminta meninggalkan majlis kerana dikatakan tidak diundang untuk menyertai acara berkenaan.

Ceramah menampilkan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Zulkifli Bakar serta beberapa calon parti itu, dianjurkan tanpa membabitkan kehadiran pemimpin mahupun calon daripada Gerakan.

Bagaimanapun, Dominic yang juga Timbalan Presiden PN menafikan beliau dihalau daripada ceramah terbabit dan memaklumkan, kedatangan beliau hanyalah untuk melakukan pertemuan dengan Hadi.

Terdahulu, keputusan Dominic bertanding di DUN Bayan Lepas yang menjadi kerusi majoriti Melayu, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong PAS Pulau Pinang. – 2 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related