CHERAS – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Fazil Mohamad Dali enggan menjadikan kisah silam yang mengaitkannya dengan budaya samseng sebagai penghalang untuk berbakti kepada masyarakat.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton turut kecewa dengan tindakan pihak lawan yang menjadikan isu lama itu sebagai peluru politik, semata-mata demi mencipta persepsi negatif terhadap PN.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT) itu menegaskan, pengalaman sebagai aktivis badan bukan kerajaan (NGO) sejak 2013 memberi beliau keyakinan untuk terus berbakti kepada masyarakat di kawasan DUN ditandinginya itu.
“Bagi saya, (sentimen budaya samseng) adalah strategi atau peluru untuk menembak PN agar ia boleh dijadikan isu untuk meraih perhatian bagi pihak lawan. Ia normal tetapi bukan itu isunya.
“Paling penting adalah pengorbanan dan matlamat kita yang boleh disampaikan kepada masyarakat untuk membantu dalam memudahkan urusan kehidupan seharian mereka,” katanya kepada Scoop ketika ditemui di Bilik Gerakan PN DUN Pandan Indah, semalam.
Ditanya sama ada beliau selesa disapa sebagai Ayahanda Cik Ton, lelaki berusia 49 tahun itu berkata, gelaran tersebut sudah sinonim dengan dirinya.
Malah bapa kepada 15 cahaya mata itu memberitahu, meskipun mempunyai ramai pengikut di TikTok yang disifatkan sebagai satu kelebihan kepada dirinya, beliau enggan terlalu selesa.
“Apabila tanggungjawab diberikan, kita tak boleh letak populariti sebagai tajuk utama. Kita harus meletakkan perjuangan untuk menyantuni rakyat sebagai perkara utama. Kalau kita rasa hebat dengan sebab kita popular, (itu salah) kerana semua dengan izin Allah.
“Saya hanya usaha dan terpulanglah kepada orang ramai untuk menilai dan menerima saya. Kalau mereka sayang, suka saya, mereka akan undi. Ketika ini, semua calon sedang berjuang demi mencapai matlamat sama iaitu untuk menang,” katanya.
Dalam pada itu, Fazil memberitahu beliau akan sentiasa turun padang menyantuni rakyat sepanjang tempoh berkempan bagi membantu PN memenangi kerusi DUN tersebut.
Selain Fazil, kerusi DUN Pandan Indah itu turut ditandingi penyandangnya, Izham Hashim daripada PH, Lisa Redzuan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serta calon bebas, R Sivaneswaran.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Izham memenangi kerusi Pandan Indah atas tiket PKR dengan majoriti 16,386 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Haniff Koslan dan calon PAS, Datuk Iskandar A Samad. – 2 Ogos, 2023