‘Mereka tidak sendirian’ Sanusi nyatakan sokongan pada Selangor FC

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Selangor FC tidak sendirian malah majoriti rakyat Malaysia secara senyap, berada bersama-sama pasukan Merah Kuning itu

12:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kemelut yang dialami oleh Selangor FC mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut menyatakan sokongan kepada pasukan itu.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Sanusi berkata Selangor FC tidak sendirian malah majoriti rakyat Malaysia secara senyap, berada bersama-sama pasukan Merah Kuning itu.

“Mereka tidak sendirian… percayalah saya…Majoriti senyap rakyat Malaysia berdiri bersama-sama Merah Kuning. Menjunjung Kasih Tuanku!’’ katanya.

Sanusi pada 2022 telah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa ada individu yang mengawal bola sepak Malaysia, namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.

Beliau turut menyatakan pendiriannya untuk menolak budaya ‘supreme’ atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu dalam sukan bola sepak.

Malah katanya, lebih dahsyat individu terbabit sanggup memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah dalam saingan Liga Malaysia.

Berikutan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar Sanusi supaya membuat pendedahan secara terperinci dakwaan yang dilakukannya itu.

Pada Rabu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat murka terhadap keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana mengenakan hukuman tidak masuk akal ke atas Selangor FC.

Baginda turut menyatakan rasa dukacita dan kecewa dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), terutama Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin kerana tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan yang berlaku terhadap pemain.

Sultan Sharafuddin menyifatkan denda keterlaluan ke atas Gergasi Merah kerana tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu sebagai tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap penyerang Selangor serta kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Susulan itu, semalam, MFL memaklumkan ia mempertimbangkan semula keputusan itu dan mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 selain membatalkan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang dikenakan sebelum ini juga dibatalkan dan penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut. – 28 Jun, 2024

Topics

Popular

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Daim, Na’imah and family take Anwar, MACC to court over seized bank accounts

In court documents, they allege PM exerted influence on graft busters for his ‘personal agenda’ against them

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related