Jauhkan politik dari isu penganjuran konsert antarabangsa, ia beri kesan kepada ekonomi: ALIFE

Persatuan Arts, Live Festivals and Events (ALIFE) juga menyatakan perlu berfikir secara rasional dan lebih mendalam lagi mengenai impak daripada mempolitikkan serta memboikot konsert artis antarabangsa kepada ekonomi tempatan

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jauhkan politik dari muzik!

Itu pandangan dikemukakan Persatuan Arts, Live Festivals and Events (ALIFE) terhadap isu yang melibatkan penganjuran persembahan muzik atau konsert antarabangsa di negara ini.

Bercakap dengan Scoop, Pengerusi ALIFE, Paramanathan Rajagopal berkata, kenyataan tersebut bukan suatu justifikasi dan bukan juga untuk menyokong pergolakan dan kehilangan nyawa yang sedang berlaku di Palestin.

“Sebaliknya, kita juga mesti dan perlu berfikir secara rasional dan lebih mendalam lagi mengenai impak daripada mempolitikkan serta memboikot konsert-konsert melibatkan artis antarabangsa kepada ekonomi tempatan.

“Ini kerana usaha mempolitikkan dan memboikot ini sebenarnya tidak memberikan kesan serta tidak menepati sasaran daripada tujuan asalnya. Bahkan, ia sama sekali tidak menguntungkan serta turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurut Paramanathan, melalui penganjuran persembahan muzik atau konsert di negara ini, ia bukan sahaja mampu membawa masuk aliran wang tetapi menggalakkan sektor pelancongan serta memberi peluang pekerjaan kepada tenaga kerja industri kreatif hiburan di negara ini.

Bukan hanya itu katanya, ia juga membantu sektor-sektor lain seperti perhotelan, makanan dan sebagainya untuk bergerak maju.

“Hal ini, harus kita sama-sama fahami, apatah lagi sektor pelancongan ketika ini adalah antara penyumbang terbesar dalam pendapatan negara,” katanya.

Menurut Paramanathan, jika dilihat kepada situasi sekarang, rata-rata rakyat berdepan kesukaran meneruskan kehidupan apabila berlakunya kenaikan harga barang serta peningkatan kos sara hidup.

“Apabila penganjuran muzik atau konsert di negara ini dipolitikkan segelintir pihak, ia sebetulnya bukan hanya menjejaskan pendapatan ekonomi negara tetapi juga menjejaskan periuk nasi rakyat kita.

“Bila Taylor Swift mengadakan konsert hanya di Singapura, ramai yang marah. Tapi, bila kita mahu melakukan sesuatu untuk memperbanyakkan penganjuran konsert di negara ini, mereka membantah.

“Apapun, saya rasa sudah tiba masanya untuk komuniti kita membuka minda dan melihat isu ini dari perspektif yang lebih besar,” katanya.

Mengulas mengenai konsert Bruno Mars yang dikecam sehingga ada pihak tertentu menyarankan konsertnya itu dibatalkan, Paramanathan berkata, persembahan seseorang artis di sesebuah negara tidak bermaksud artis berkenaan menyokong polisi kerajaan di negara tersebut.

“Artis kebiasaannya membuat persembahan jelajah di seluruh dunia dan kehadiran mereka di negara tertentu termasuk Israel adalah demi peminat mereka dan bukan didorong oleh sentimen politik.

“Adalah menjadi suatu kebiasaan bagi seseorang artis itu untuk mengucapkan kata-kata seperti ‘saya sayang kamu’ kepada penonton (peminat mereka) semasa persembahan.

“Oleh itu, kami menggesa kelompok tertentu agar tidak mempolitikkan isu ini dan peminat pula tidak ikut sama dengan kenyataan-kenyataan yang mampu memisahkan mereka daripada artis kegemaran mereka,” katanya. – 1 Julai, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related